CAPTION:
My protocol easy..found..conquered..prisoned..
BAB
1: SUNNY: PROTOKOL CINTA
BIJA
keluar dari emergency, sudah hampir
menginjak ke pukul sepuluh malam. Cuaca tidak berapa elok pula malam ini,
berangin tetapi tidak pula hujan. Kilat memancar-mancar. Kaki dihayun pantas ke
kereta Myvi kepunyaannya yang berada di belakang hospital. Sampai di kereta
terus saja masuk tanpa was-was. Tidak terfikir keselamatannya mungkin tergugat.
“Jangan jerit!” terasa lehernya dijerut tiba-tiba
dengan lengan, pisau berkilat dihunus betul-betul di depan mukanya. Bija
sungguh terkejut!
“Kau nak selamat atau mati?!” bisik suara lelaki di cuping
telinganya. Terlalu rapat, boleh terasa telinganya panas dek nafas lelaki tidak
dikenali itu. Menggeletar terus seluruh badan, pundi kencing pula terasa penuh
dengan tiba-tiba, bila-bila masa jika tahap ketakutannya naik mendadak tidak
mustahil dia akan terkencing di situ juga.
“Er..er..atau?” Bija terlepas cakap. Kepalanya cuba
nak berfikir cepat-cepat dan akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya. Bukan
sengaja nak main-main tapi terlepas! Aduh, gawat!
“Main-main kau, ya?! Aku kelar leher kau baru tahu!”
pisau tajam dirapatkan ke leher, mengacah!
“Jangan! Jangan! Nanti Mia kat rumah pengasuh macam
mana? Kesian Mia kalau saya tak ada, papa Mia dahlah jarang balik rumah,
tolonglah kesiankan kami kalau tak banyak, sikit pun jadilah..” Bija merayu
laju-laju. Anak perempuannya yang comel ditinggalkan di rumah pengasuh. Kalau
jadi apa-apa dengannya, Mia anak perempuannya yang comel nanti bagaimana? Tidak
semena-mena air matanya tumpah. Ya, Allah, tolong aku, bukan demi aku tetapi
demi anak kecilku yang masih memerlukan aku. Bija berdoa bersungguh-sungguh!
“Weh, cakap tu jangan laju-laju, mana sempat aku nak
dengar!” marah lelaki jahat itu tetapi kemudiannya terdengar lelaki itu
mengerang. Pisau yang dihunus ditarik hanya lengan masih menjerut lehernya.
Bija lega sedikit.
“Kau diam-diam, jangan cuba nak melawan! Kalau
melawan kau takkan jumpa Mia kau sampai bila-bila! Nak?!” ugut lelaki itu.
“Tak nak..” lembik suara Bija menjawab. Sudah tentu
dia akan memilih untuk berdiam diri. Dia sayangkan Mia, buah jantung pisangnya.
“Ha..pandai pun kau, jawapan paling bijak! Tak payah
sekolah pun pandai kalau macam ni,” sempat pulak lelaki jahat itu buat lawak
susah nak gelak. Sah-sah dia tidak akan gelak.
Bija diam hanya terdengar pintu kereta dibuka, tidak
lama selepas itu pintu di sebelah penumpang pula dibuka. Lelaki jahat yang
berada di belakang tadi sudah bertukar tempat duduk. Parah! Bija cuba
menjeling, nak tengok betul-betul siapa orangnya tetapi pisau berkilat tadi dah
selesa ‘parking’ di tepi lehernya sekarang. Gulp!
“Kau dengar sini, aku tengah cedera sekarang ni tapi
kau jangan ingat aku lemah! Kau pernah dengar harimau yang cedera lagi buas dan
bahaya? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya lelaki jahat itu, mungkin
ingat dia pekak agaknya tak dapat mendengar apa yang dikatakan. Baiklah,
pendengarannya tersangatlah jelas, diyakini! Baru lepas korek pagi tadi lagipun
dia bukan golongan OKU pekak perdengaran. Sekian!
“Dengar, dengar, dengar..” Bija dengan kepala
diangguk-anggukkan, mengiyakan kata-kata lelaki jahat itu.
“Kalau kau nak Mia kau selamat, kau selamat, tolong
aku!” selepas mengugut sedap-sedap lelaki jahat itu meminta pertolongan pula.
Kepalanya yang sedari tadi hanya ke depan terus menoleh. Refleks terkejut!
Sudah tentu terkejut gila, melihat lelaki jahat
itu berdarah di merata-rata badannya dengan pakaian koyak rabak seperti
dilibas-libas dengan parang. Bija mengagak dari luka yang dilihatnya.
Pengalaman sebagai jururawat, dia pernah melihat scenario sebegini, selalunya
pasal kes amuk atau kongsi gelap. Bergaduh sampai berparang-parang, biasalah
tu! Pfftt..
“To..tolong macam mana?” tanya Bija. Dia bukan
doktor, hanya seorang jururawat. Diulangi, dia seorang jururawat!
“Kau kerja wad mana?” tanya lelaki jahat itu. Eh,
sempat pula bertanya wad mana? Bija pandang pelik lelaki itu. Ini bukan sesi
berkenalan, okay! Ini menjurus kepada sesi penculikan, apa kaedahnya bertanya
dia bekerja di wad mana?
“Emergency..” jawablah orang dah tanya, kan..
“Perfect!
Pergi tempat kerja kau cari suture 3/0,
4/0, 5/0, adrenalin, gauze, gamgee,
plaster cari yang transparent, bandage,
alcohol, iodine. Apa lagi..oo..painkiller
tak kisah mana-mana kalau dapat yang kuat lagi bagus!” senafas lelaki itu minta
barang-barang perubatan. Tak kekok langsung sebut satu-satu barang. Macam familiar sangat dengan semua barang itu.
Bija pelik lagi hairan.
Bija masih terpaku walaupun sudah mendapat arahan
dari ‘tuan doktor’.
“Tunggu apa lagi! Kau nak aku cari Mia kau sekarang
ke?” ugut lelaki jahat itu suka-suka hati.
“Eh, okey, okey, saya pergi sekarang. Tolong jangan
buat apa-apa dengan Mia saya!” Bija baru sedar diri bila diugut lagi dengan Mia,
buat apa lagi terpaku, cari semua barang cepat-cepat! Bija kalut buka pintu. Baru
nak turun dia teringatkan sesuatu.
“Tapi..”
“Tapi apa?” keras lelaki jahat itu bertanya. Lebih
kepada suara menahan kesakitan.
“Maaf, kalau tak ada suture yang nak tu macam mana?
3/0 dengan 4/0 banyaklah kat emergency tapi 5/0 selalu ada kat OT aje,” baru
teringat 5/0 hanya sesuai untuk kulit muka kerana saiznya halus. Emergency
hanya ada 3/0 dan 4/0 sesuai untuk kulit anggota badan. Memilih betul orang
jahat ni! Tahu pula tak nak muka tu berparut!
“Aku tak kira, 5/0. Kau cari sampai dapat!” lelaki
jahat itu bertegas dengan apa yang diinginkan.
Bija malas nak banyak bunyi terus keluar. Tutup
pintu..
“Demand kuat!!”
Bija sempat mencemuh.
Bija berjalan cepat ke emergency, sampai saja terus tangannya mencapai barangan yang
dipinta di bilik rawatan dan di bilik suntikan. Semuanya dimasukkan ke dalam
beg galas. Sebaik saja keluar, boleh pula dia bertembung dengan teman sekerja.
“Eh, bukan kau dah balik ke tadi?” tanya Rani.
Terkejut melihat Bija masih berada di situ.
“Tertinggal barang!” Bija bagi alasan tetapi muka
kalut semacam. Dahi berpeluh-peluh padahal emergency
sepenuhnya berpenghawa dingin.
“Oo..kau tak sihat ke? Berpeluh saja ni?” tanya Rani
lagi, pelik melihat telatah teman sekerja pelik semacam.
“Haah..macam nak demam, aku balik dululah Rani,”
cepat-cepat Bija minta diri. Dia tidak boleh berlama-lama, buat kepala tak
betul orang jahat itu pergi cari Mia bagaimana? Bija ketakutan.
Bija kalut panjat tangga ke tingkat empat untuk ke
dewan pembedahan mengambil suture yang diminta, sempat berselisih bahu dengan
seorang jururawat. Beg galas terjatuh ke bawah, Bija kalut tunduk mengambil
begnya yang jatuh. Tanpa mohon maaf terus panjat tangga ke tingkat atas,
langsung tak pandang jururawat yang baru dilanggarnya tadi. Kalut punya pasal!
“Apa malang asyik kena langgar saja ni!” omel
jururawat bernama Edlin itu sebelum meneruskan langkahnya turun ke tingkat
bawah.
Setelah, segala barangan yang dipinta diidapati Bija
tergesa-gesa pergi ke kereta Myvinya semula. Lega kerana keretanya masih di
situ. Bija ketuk tingkap kaca supaya kunci pintu dibuka dari dalam.
“Lambat betul! Sikit lagi aku nak jadi orang kurang
sabar, kalau aku kurang sabar dah lama aku pergi cari Mia kau tadi!” bebel si
jahat dengan muka mengantuk. Ceh, sempat buat tahi mata!
“Dah, saya dah bawa semua barang..” kata Bija
perlahan. Jantung berdetak laju macam orang sakit jantung. Dalam hati tidak
putus-putus beristighfar dan menyebut kebesaran Allah. Berharap dia dan anak
kecilnya sentiasa dilindungi Allah.
“Bagus, jom, kita pergi jemput Mia! Aku nak jumpa
Mia, mesti comel macam kau, kan!” pipi Bija dicubit kuat.
“Aduh, sakitlah!” Bija mengaduh sakit sambil
menjeling garang. Mulut kumat-kamit menyumpah dalam hati.
“Dah, jom, jom, pergi ambil Mia. Mesti Mia dah lama
tunggu,” gesa lelaki jahat itu siap tepuk stereng dipegang oleh Bija. Terkejut
Bija dibuatnya.
“Er..nak tanya sikit boleh?” Bija beranikan diri
bertanya. Dia perlu tahu sesuatu.
“Hm..tanya apa? Mood aku tengah baik ni, baik kau
tanya benda elok-elok!” lelaki jahat itu benarkan Bija bertanya tetapi sempat
lagi nak mengugut. Tangan yang memegang pisau ‘parking’ di belakang kepala Bija
pula.
“Kalau saya tolong awak, awak boleh tak jangan
apa-apakan saya, Mia saya..” pinta Bija dalam takut-takut. Dia terlalu risaukan
Mia.
“Baik kau jalan sekarang!” arah lelaki jahat itu
terus mengacu pisau ke leher selepas mendengar kata-kata Bija.
“Awak..tolong jangan apa-apakan kami, lebih-lebih
lagi jangan apa-apakan Mia,” Bija masih belum menggerakkan keretanya. Cuba
berunding.
“Jalan cepat! Aku ni banyak bleeding, karang aku
kelar leher kau kat sini, nak?!” ugut lelaki jahat itu dengan garang tetapi kedengaran
suara mengerang dihujungnya.
“Selagi awak tak janji tak apa-apakan kami, saya
takkan pergi ke mana-mana!”
“Kau tak takut?” pisau diacah lagi.
“Saya takut tapi saya rela mati demi Mia saya!” Bija
bertegas!
“Baik kau jalan, bukan dengan kau saja aku bunuh,
dengan Mia kau sekali aku cari dan bunuh. Aku tak fikir nak bunuh orang
sekarang ni tapi jangan kau buat aku rasa nak bunuh orang!” lelaki itu mengugut
dengan suara semakin terdesak!
“Okey, okey, saya gerak sekarang, nanti kat depan
ada security guard, tolong duduk betul-betul, pisau tu tolong jauhkan sikit,
ya!” dalam keterpaksaan Bija memulakan pemanduan. Tangan basah dengan peluh
memegang stereng. Ketakutan yang teramat!
Sebaik saja hampir melalui pemeriksaan security
guard, lelaki jahat itu melindungi badannya dengan beg galas, sweater dan topi.
Sebijik macam orang tengah tidur dengan topi ditutup sepenuhnya pada muka.
“Pandai betul!” omel Bija dengan kelicikan lelaki
jahat itu melindungi dirinya.
“Aku dengar!” sempat pula dengar orang mengomel. Huh!
PINTU
gril dibuka, terpaksa memapah lelaki jahat itu masuk ke dalam rumahnya.
Terpaksa!
Selepas dudukkan lelaki jahat itu di atas sofa, Bija
keluar mengambil Mia di rumah pengasuh yang berada di tingkat bawah. Terpaksa
tebalkan muka dengan pengasuh sewaktu mengambil Mia kerana dia sudah terlalu
lewat mengambil Mia. Seperti yang dijangka Kak Midah dengan muka cemberut
menarik keluar Mia yang sedang terpisat-pisat. Kasihan anak mama, mungkin
ditarik begitu saja dari tidur. Sedih tetapi apalah daya dia sebagai mama yang
bekerja.
“Dah lewat dua hari ni, bila nak bayar duit mengasuh
ni?” Kak Midah bertanya kasar.
“Esok saya bagi kak, belum sempat pergi tekan duit
lagi,” beritahu Bija. Perit bila kenangkan baki gaji di dalam akaun bank. Baru
dua hari gaji keluar tetapi gaji sudah tinggal sedikit.
“Hm..” Kak Midah sengaja tutup pintu dengan kasar.
Hati Bija cukup terasa.
Perlahan diangkatnya Mia dalam dukungan, jiwanya
berlagu sendu. Meratapi nasib diri yang semakin hari semakin sukar. Teringat
orang jahat di rumahnya buat hatinya bertambah walang. Kepalanya sibuk membelek
naskhah akhbar yang pernah dibaca sebelum ini tentang pembunuhan ngeri. Doa
tidak putus-putus di dalam hati, berharap selepas malam ini segalanya akan
bertambah baik. Yang penting dia dan Mia tidak diapa-apakan.
Bija masuk ke dalam rumah, dilihatnya lelaki itu
sedang menyelongkar beg galas tadi. Tanpa bersuara Bija meletakkan Mia di atas
katil. Mia sambung tidurnya kembali.
“Kau datang sini, tolong aku cuci luka ni!” panggil
lelaki jahat itu tatkala melihat Bija keluar dari biliknya. Bija takut-takut
nak datang dekat.
“Sinilah!” herdik lelaki itu dengan kasar.
Bila diherdik barulah Bija menghampiri. Lelaki itu
selamba membuka bajunya. Mata Bija terpaku melihat tatu matahari pada badan
lelaki itu. Sah, kaki samseng kongsi gelap! Jelik betul sewaktu Bija
melihatnya.
“Apa tengok lagi!” herdik lelaki itu lagi. Bija
pakai glove, dia perlu mengambil langkah berhati-hati dengan orang macam ni. Dengan
berhati-hati, Bija mengeluarkan disposable dressing, dia menuang lotion untuk
mencuci luka.
“Kau pandai jahit luka?” tanya lelaki itu lagi.
“Pandai!” jawab Bija, memang selalu sangat kalau di
emergency tu. Kalau nak jahit mulut orang pun lagi dia boleh. Menggumam!
“Good..hm..kau
jahit luka kat peha aku ni dulu,” lelaki jahat itu menghalakan matanya ke arah
pehanya yang masih memakai seluar tetapi sudah koyak-rabak dengan kesan libasan
parang.
Bija pandang peha lelaki itu yang berbalut ikatan
kain. Bija tahu mengapa diikat begitu kerana lelaki itu cuba menghentikan
pendarahan. Mata Bija sepet tiba-tiba sedang berfikir bagaimana nak menguruskan
luka yang merata-rata di badan lelaki itu.
“Okey!” Bija mula bertindak, segala kemahiran yang
ada Bija merawat lelaki itu. Bermula dengan peha lelaki itu, tanpa bertanya
atau meminta izin selamba saja Bija mengoyakkan seluar yang dipakai. Lantak!
Luka dicuci lalu mula melakukan suturing. Bija
melakukannya dengan tekun. Selepas itu, Bija memecahkan ampul adrenalin lalu
dibasahkan dengan gauze lalu ditekapkan pada luka yang sudah dijahit kemas.
Fungsi adrenalin dapat menghentikan perdarahan. Lelaki itu hanya memerhati
hasil kerja perempuan di depannya yang ternyata kemas. Lelaki itu berpuas hati!
“Bagus jugak jahitan kau, ya!” puji lelaki jahat
itu. Bija toleh seketika, matanya dapat melihat lelaki jahat itu sedang menahan
kesakitan.
“Hm..bolehlah..” kata Bija dengan perasaan lega
kerana dengan tangan menggigil dia boleh menjahit dengan baik. Karang kalau
tersalah jahit bimbang juga menaikkan kemarahan lelaki jahat itu. Bija sangat
takut tetapi apa yang paling dia takuti jika lelaki jahat itu mengapa-apakan
Mia. Bija cuba tidak membuatkan lelaki jahat itu berang.
Lelaki jahat itu hanya mendiamkan diri sambil
memejamkan matanya. Bija sempat menilik wajah lelaki jahat itu sewaktu dia mula
merawat luka yang lain pula. Wajah lelaki jahat itu comot dengan darah mengalir
yang sudah kering. Dengan janggut dan misai yang serabai memang sesuai sangat
dengan watak penjahat. Bija geleng kepala.
Tiba giliran luka di belakang, tempat tatu matahari.
Luka itu mencacatkan sedikit lukisan tatu matahari itu. Bija bersihkan luka dan
darah yang sudah kering melekat pada kulit. Selepas itu dengan berhati-hati dia
melakukan suturing. Terdengar lelaki itu mengerang. Bija tiba-tiba berdecit
turut merasakan kesakitan yang lelaki
itu tanggung.
Sekarang giliran luka pada muka, pipi sebelah kanan.
“Saya nak cuci luka kat pipi,” kata Bija, karang
terkejut pulak kalau terus cuci. Lelaki jahat itu mungkin tertidur. Diam saja
dari tadi.
Lelaki jahat itu buka matanya, terus pandang tepat
ke mata Bija. Jarak mereka terlalu dekat.
“Kau cuci aje nanti aku jahit sendiri,” arah lelaki
jahat itu.
“Hah?” Bija terkejut, lelaki itu nak buat sendiri?
Pandai ke?
“Tak payah buat muka terkejut sangatlah! Pergi ambil
cermin!” arah lelaki itu lagi tatkala melihat riak wajah Bija macam tak
percaya.
Bija bangun lalu masuk ke dalam bilik mencari cermin
yang di minta. Selepas itu datang kembali dengan cermin di tangan.
“Kau pegang cermin ni betul-betul,” arah lelaki itu
lagi. Bija pegang cermin sambil memerhati lelaki jahat itu tidak kekok langsung
menggunakan needle holder dan mula
melakukan suturing. Melihat kecekapan
lelaki jahat itu menjahit luka di pipinya sendiri menimbulkan perasaan kagum di
hati Bija. Siapakah lelaki ini sebenarnya? Ahli kongsi gelap dengan kecekapan
setanding seorang doktor? Sangat pelik!
Urusan jahit menjahit luka selesai juga akhirnya.
Bija mengemaskan segala barangan dan tempat yang bersepah dengan gauze yang dikotori
darah. Barangan untuk menjahit yang dicilok
dari emergency wajib dipulangkan
cepat. Karang ramai pula yang tertanya-tanya. Dia sudah menjadi pencuri
disebabkan lelaki itu. Bija mengeluh tanpa sedar.
“Aku nak mandi!” kata lelaki itu terus bingkas bangun.
“Ah, okey!” tanpa banyak soal, Bija ke dalam
biliknya mencari tuala. Tidak lama kemudian keluar dengan sehelai tuala.
“Bilik air ada di dapur,” Bija tunjuk arah ke dapur.
Lelaki jahat itu capai tuala terus ke dapur. Bija
lihat lelaki itu kelihatan mula cergas selepas lukanya dirawat. Kalau orang
biasa-biasa mungkin lesu tidak bermaya tetapi lelaki itu kelihatan gagah pula. Bertambah-tambah
pelik Bija rasa.
Lelaki jahat itu keluar tidak lama kemudian dengan
hanya bertuala. Nasib baik pakai plaster transparent kalis air tak adalah basah
tempat luka yang baru dijahit. Mata Bija menyinggah lama di badan lelaki itu,
menilik. Badan sasa yang kekar dengan tatu matahari, mungkin bagi sesetengah
orang nampak macho tetapi baginya nampak jelik. Terlintas di fikiran bangsa
apakah lelaki itu? Kalau bertatu kemungkinan bukan muslim.
“Kenapa? Aku nampak seksi ke?” lelaki jahat itu
bertanya sambil merenung tajam ke mata Bija. Perasan perempuan itu leka benar
menilik badannya.
Bija yang leka menilik, hampir tersedak mendengar
kata-kata lelaki jahat itu terus mata dialih ke arah lain. Huh, perasan!
“Kau terpikat ke?” lelaki jahat itu pandai pula
menggiat Bija. Tersengih tetapi nampak buruk benar di mata Bija. Eeuuwww..
“Tahu tak dalam dunia ni ada satu penyakit yang memang
tak akan ada ubat, penyakit perasan bagus!” terkeluar dari mulut Bija tanpa
sedar. Selamba!
Sesaat, Bija terus tepuk mulutnya banyak kali, boleh
pula celupar tiba-tiba. Ops! Ops!
“Kau tak sayang mulut ke? Suture tadi ada lagi, kan? Biar aku jahit mulut kau kejap lagi!” lelaki
itu berang.
“Sorry, sorry, tak sengaja, tak sengaja, okey, saya
diam, saya tak cakap apa-apa dah,” Bija terus tekup mulutnya. Dua biji mata
bundarnya saja yang terkelip-kelip.
“Jangan buat muka pussy cat doll sangatlah!” dahi Bija ditunjal kuat. “Aku nak pakai
baju!” kata lelaki jahat itu, remote control tv diambil. Tv dibuka.
Bija ke bilik lagi, dua tiga kali duk ulang alik ke
bilik. Kali ini mencari pakaian untuk lelaki jahat itu pula. Bija mencari
pakaian suaminya yang mungkin sesuai untuk lelaki itu. Bila teringatkan
suaminya, Bija mengeluh. Suaminya sudah lama tidak pulang ke rumah. Makan pakai
dan kehidupannya dengan Mia suaminya langsung tidak peduli. Rumah tangga dibina
selama lima tahun menanti rebah sahaja. Semuanya kerana orang ketiga, suaminya
tergila-gila perempuan lain. Dengar khabar sudah berkahwin lain, dia
ditinggalkan terkontang-kanting. Nasib baik ada Mia pengubat luka di hati,
kerana si comel itu dia masih bertahan sehingga kini. Kini, dugaan lain pula
yang mendatang. Keselamatan mereka berdua terancam dengan kehadiran lelaki
tidak dikenali itu.
Bija keluar bersama pakaian. Lelaki jahat itu
mengambil lalu dengan selamba memakai pakaian diberi di depan Bija. Bija pula
yang kena pusingkan badannya ke belakang. Aduh!
BERITA
tengah malam di tv3 bersiaran, lelaki jahat itu terlalu kusyuk melihat berita
di tv. Bija ke dapur selepas mendapat arahan menyediakan makanan pula. Huh, tak
habis-habis mengarah itu dan ini. Naik menyampah pula!
Tengah-tengah malam menggoreng nasi, nasib baik ada
sosej dengan telur. Jadilah, dari tak ada apa langsung, kan. Bija bawa nasi
goreng ke depan bersama milo panas satu muk.
Berasap-asap!
Sewaktu meletakkan makanan mata Bija juga pandang
berita di tv. Berita tentang pergaduhan
kongsi gelap, Bija lihat berlimpangan beberapa orang lelaki dalam
keadaan cedera parah mungkin juga ada yang mati. Drastik matanya terus pandang
wajah lelaki itu kelihatan tiada riak langsung. Bija syak lelaki itu juga
terlibat sama. Jantungnya dipalu lagi, berdenyut laju selajunya. Tubuhnya
menggeletar ketakutan, lutut terasa lemah untuk berdiri. Wajah pucat lesi!
“Selagi kau ikut segala apa yang aku kata, nasib kau
tak akan jadi seperti mereka,” lelaki itu tiba-tiba bersuara tanpa mengalihkan pandangan
matanya dari tv. Hanya Bija tercengang memandang lelaki itu.
“Kau dengar?” bersuara keras!
“De..dengar..” Bija semakin kecut perut!
“Aku nak tidur!” selamba terus pejam selepas tv
dipadamkan. Tiada lagi arahan. Bija masih berdiri di situ, dilihatnya lelaki
itu seperti tidak tidur saja. Statik, berpeluk tubuh dengan mata dipejamkan
saja. Bahasa tubuh lelaki itu seakan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Mungkin inilah kehidupan kongsi gelap perlu sentiasa berjaga-jaga.
Perlahan Bija ke biliknya, pintu dikunci
rapat-rapat. Bija kalut berfikir bagaimana nak mempertahankan diri daripada
lelaki itu. Bija terlalu takut jika lelaki jahat itu masuk ke dalam bilik
mereka berdua. Bija tidak percaya langsung dengan lelaki jahat itu. Perasaan
takut dan curiga kuat menguasai diri. Bija tilik handphone, berbelah bagi untuk
menelefon pihak berkuasa, jika dia meneruskan niatnya selamatkah mereka berdua?
Jika dia hanya berdiam diri, selamatkah mereka berdua? Bija mundar-mandir
gelisah!
Tiba-tiba pintu ditendang kuat dari luar. Bija
terkejut besar! Tergamam melihat lelaki jahat itu masuk ke dalam biliknya
dengan muka bengis. Handphone di tangannya dirampas kasar.
“Aku dah agak! Kau keluar sekarang!” pisau dihunus
mengarahkan Bija keluar dari bilik.
Menggeletar seluruh badan, Bija terus melangkah laju
keluar bilik. Terlalu kalut sehingga membuatkan Bija terjatuh-jatuh. Sungguh,
lututnya lembik. Bija terpaksa merangkak sehingga ke sofa, dia tidak mampu
berdiri lagi. Air mata merembes laju, kepalanya sudah terfikir kemungkinan
buruk yang bakal berlaku dengannya. Jika begini pengakhiran hidupnya, Bija
berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati supaya Allah selamatkan Mia.
“Kau memang nak mati!” lelaki jahat itu menghampiri,
leher baju Bija dicekak kasar. Bola mata lelaki jahat itu yang kelihatan merah
menyala sangat menakutkan. Bija pejam mata. Sungguh, dia terlalu takut!
“To..tolong jangan apa-apakan saya, Mia masih
perlukan saya..” rayu Bija sudah teresak-esak.
“Dengan anak kau sekali aku hantar ke syurga!” leher
baju Bija sekali lagi dicekak kuat sehingga badan Bija terangkat. Hanya hujung
ibu jari kaki cecah ke lantai.
“Jangan! Mia tak salah, Mia tak berdosa, dia masih
kecil!” Bija merayu mendayu-dayu, wajah lencun dengan air mata. Di dalam hati
sangat berharap suaminya akan pulang di saat genting begini menyelamatkan
mereka berdua.
“Kau ni..!!” lelaki jahat itu seperti muak mendengar
rayuan Bija. Dengan wajah paling berang lelaki jahat itu menghayunkan tangannya
ke leher Bija. Hayunan yang pantas!
Sekeliling menjadi gelap gelita..
best ..
ReplyDeletethx awk..projek baru..hrp suka..
DeleteBest!!! ♥
ReplyDeletethx cik mery.. :)
Deletewah .... buat saspen betul :D
ReplyDeleteBest.. best... best... cepat sambung
ingat dop baca agi..buka mula "Ehh...baca dh hk nim.." dop ingat...hehehe....
ReplyDeleteBest la
ReplyDelete