Sunday 30 March 2014


BAB 2: SUNNY: PROTOKOL CINTA

 

DASAR janda! Kerjanya rampas laki orang saja tahu! Aku jaga anak kau, kau main mata dengan laki aku!” terjerit-jerit Kak Midah memaki-hamun Bija di depan rumahnya. Bija menangis teresak-esak, dimaki dan dihina di depan semua jiran tetangga. Tidak sampai sebulan bergelar janda, khabar angin dan fitnah terus melanda dirinya. Setiap hari dia kenyang dengan umpat keji jiran tetangga yang sentiasa mencari kesalahan dan kesilapannya.

“Apa Kak Midah cakap ni, mana saya ada buat apa-apa dengan suami akak! Jangan tuduh saya bukan-bukan!” Bija cuba bela dirinya.

“Ingat mata aku buta, ingat aku bodoh! Setiap kali kau ambil anak haram kau tu, yang kau duk intai-intai suami aku tu apa?! Tak cukup intai, tanya pulak suami aku ada, tak ada!” tuduh Kak Midah berapi-api.

Semua jiran tetangga yang keluar melihat mereka, berbisik-bisik sesama mereka dan mencebik-cebik ke arahnya. Bija sakit hati yang teramat sangat kerana dia tidak pernah ada apa-apa dengan suami Kak Midah apatah lagi nak merampas. Salahkah bergelar janda? Gelaran janda hanya layak menjadi perampaskah? Bija sungguh tidak faham.

“Kak Midah, Mia bukan anak haram! Mulut tu jangan celupar cakap anak saya bukan-bukan!” Bija berang apabila Mia turut dihina, kalau dia yang dihina masih boleh bersabar lagi tetapi Mia juga diheret sama. Apa salah Mia?

“Ah, anak kau dengan kau sama aje! Dua-dua anak haram! Pasal tu suka merampas!” Kak Midah semakin menjadi-jadi.

“Kak Midah jangan melampau! Apa hak Kak Midah panggil kami macam tu! Kak Midah tu yang kena jaga suami tu elok-elok dengan mulut celupar macam Kak Midah ni memang patut suami tak tahan, cari perempuan lain!” Jangan ingat dia akan berdiam diri selepas dihina sesuka hati, dia juga punya maruah!

“Ha, kan aku dah kata! Mengaku jugak menggatal dengan suami aku! Kau memang nak kena! Sini kau!” Kak Midah meluru terus menarik rambut Bija kuat-kuat. Bija yang tidak bersedia tidak dapat melawan kerana rambutnya sudah ditarik dahulu. Bija menjerit-jerit kesakitan tetapi tiada seorang yang datang membantu. Mia yang tidak mengerti apa-apa hanya mampu menangis di tepi pintu melihat mamanya dizalimi.

“Hei!!” terdengar jeritan dari arah belakang, semua mata tertumpu dengan dua orang lelaki tiba-tiba meluru. Tidak tahu datang dari arah mana, datang-datang terus menarik Kak Midah daripada mengasari Bija.

Bija terpinga-pinga!

“Kau tarik-tarik rambut dia kenapa? Laki kau yang banyak hutang tu tak maunya perempuan ni la! Cakap sama kau punya laki, lagi dua hari hutang tak bayar, suruh dia tukar warganegara Nepal, sekali aku jumpa dia. Zasss!!” lelaki berlagak gangster itu mengugut siap dengan isyarat macam nak sembelih leher ayam. Midah terus pucat lesi mendengar ugutan lelaki itu.

“Hah, kau pulak buat apa tercegat kat sini lagi, masuk la dalam!” marah seorang gangster lagi bila melihat Bija masih terpinga-pinga di luar.

Kehadiran dua orang gangster itu menyelamatkan Bija daripada diganyang percuma dengan Kak Midah. Bija sangat berterima kasih dengan dua orang gangster itu walaupun jahat. Cepat-cepat Bija tarik Mia dan masuk ke dalam rumah. Tutup pintu rapat-rapat!

Midah pula terkulat-kulat, misi mengganyang nampaknya tidak menjadi, dia pula menjadi sasaran lagi hebat. Hii, laki aku ni!

 
MACAM mana?”

“Aku dah pergi tengok perempuan kau tu. Perempuan yang cari pasal tu , laki dia banyak berhutang dengan kita. Sekali sergah terus kecut perut, aku dah warning kalau kacau perempuan kau lagi, siap la dia!” Malik selamba letak kaki atas meja. Seorang lagi pula sibuk menghidupkan api rokoknya. Lelaki yang bertanya mula-mula hanya menganggukkan kepalanya.

“Bagus! Aku nak budak-budak kita selalu perhatikan perempuan tu. Kalau ada apa-apa terus beritahu aku!” kata lelaki itu. Riaknya serius bukan main-main.

“Yelah..” Malik sengih semacam.

“Tak pernah aku tengok kau macam ni!” sampuk Zamri selepas menyalakan api rokoknya.

Lelaki itu hanya diam, tidak menyuarakan sebarang alasan dengan kata-kata Zamri.

“Sunny, kau sedar kita siapa, kan? Selagi tak selesai kau tak boleh macam ni!” Malik mengingatkan Sunny. Harus sedarkan teman seperjuangan tentang matlamat mereka.

“Dia pernah tolong aku.. itu je.. ” ujar Sunny sambil meraba pipi sebelah kanan, dengan kemahirannya tidak kelihatan langsung parut. Ini semua kerana perempuan itu. Sunny tersenyum nipis bila teringatkan perempuan itu dengan anaknya. Dia tidak akan pernah lupa budi perempuan itu kepadanya. Oleh kerana itu, dalam diam dia ‘menjaga’ perempuan itu dari jauh. Berita perpisahan perempuan itu dengan bekas suaminya cepat saja sampai di telinganya. Dia juga pernah memerhati dari jauh, perempuan itu dengan anaknya menghadapi banyak kesukaran. Bukan itu saja, dengan mudah dia juga mendapat tahu perempuan itu mempunyai banyak hutang dengan bank. Gaji bulanan, cukup-cukup makan selepas ditolak hutang. Kalau diikutkan, scenario sebegini bukan asing lagi dengan pekerja sektor kerajaan yang berhutang dengan pihak bank tetapi perempuan itu sudah dikategori tahap teruk. Dari risikan, semuanya kerana bekas suami perempuan itu membuatkan perempuan itu banyak berhutang. Sunny, jatuh kasihan pula dengan kehidupan perempuan itu. Tetapi, dia hanya mampu melihat saja. Dia tidak akan mengaitkan kehidupan perempuan itu dengan hidupnya.

 
BIJA buka bekas simpanan beras. Sebaik saja penutup dibuka, Bija tiba-tiba mengeluh kerana rumahnya telah kehabisan beras. Periuk nasi diletakkan kembali ke atas rak. Kemudian, pergi membuka almari dapur mencari bahan untuk dimasak. Bija mengeluh lagi yang tinggal hanya mee segera. Terpaksa, walaupun dia tahu sangat makanan itu tidak elok untuk perkembangan anaknya. Malam nanti dia akan bekerja, Mia terpaksa dibawa sekali. Dia akan tidurkan Mia awal-awal di sana supaya tidak mengganggu tugasnya nanti. Kak Midah tidak lagi menjaga anaknya, dia cuba mencari pengasuh baru tetapi ramai yang menolak kerana kak Midah kecoh menjaja cerita tidak baik mengenai dirinya yang suka bermain mata dengan lelaki dan selalu lambat membayar duit mengasuh. Bija terlalu penat dengan kerenah Kak Midah yang tidak sudah-sudah menyusahkan hidupnya.

“Mia, kita makan Maggie ye..” dada Bija sebak. Semangkuk mee segera disua ke arah Mia.

“Mia suka..Mia suka..” Mia tepuk tangan.

Bija hampir mengalirkan air matanya. budak-budak apa tahu, dapat makan Maggie cukup suka padahal makanan sebegitu tidak elok untuk mereka. Sebagai ibu, Bija sangat sedar dia gagal menjadi seorang ibu yang baik.

 
SUNNY berkerut melihat perempuan itu mendukung anaknya dengan uniform kerja di depan stesen LRT.

“Takkan nak bawak Mia sekali pergi kerja?” Sunny cuba menelah. Berkerut-kerut matanya memerhati perempuan itu. Bila LRT yang ditunggu tiba, Sunny juga ikut masuk. Sunny memakai army cap supaya perempuan itu tidak dapat mengecam dirinya. Sekejap-kejap dia akan mencuri pandang ke arah perempuan itu yang sedang menepuk-nepuk anaknya. Hati Sunny tersentuh.

Sunny mengekori perempuan itu daripada belakang, Sunny berhati-hati tidak mahu perempuan itu perasan dengan kehadirannya. Dia berjaga-jaga melihat keadaan sekeliling, suasana terlalu gelap. Kasihan perempuan itu terpaksa berjalan kaki jauh selepas turun dari LRT dan terpaksa melalui belakang-belakang bangunan yang sunyi. Kereta Myvi perempuan itu tidak silap kena tarik kerana banyak bulan tidak bayar pinjaman kenderaan. Sunny semakin jatuh kasihan. Tiba-tiba..

Mata Sunny berkerut lagi tatkala melihat seorang lelaki baru keluar dari lorong gelap mengekori belakang perempuan itu. Sunny biarkan mungkin hanya pejalan kaki biasa tetapi firasatnya musykil apabila lelaki itu melajukan langkahnya. Sunny cepatkan langkahnya, dengan langkah tanpa bunyi dia sudah berada di belakang lelaki itu terus menyambar kolar leher lalu ditekup mulut lelaki itu dan dibawa ke celah bangunan. Tangkas tanpa sebarang bunyi!

“Kau kenapa ikut perempuan tu? Nak ragut perempuan tu?” tanya Sunny dengan nada keras. Leher lelaki itu sudah dicekak sehingga kaki lelaki itu terangkat.

“Ak..aku jalan je..mana ada nak buat apa-apa!” nafi lelaki itu dengan gagap walaupun niatnya memang nak meragut.

“Kau ingat aku nak percaya!” serentak itu penumbuk hinggap ke muka. Tanpa belas kasihan Sunny membelasah lelaki itu dengan teruk.

Selesai, Sunny berlari mencari perempuan itu. Dengan langkah susup-sasap dia dapat menyaingi perempuan itu kembali. Perempuan itu sedang menunggu lampu isyarat pejalan kaki, Sunny tarik nafas lega. Sampai di sini saja dia mengekori, dia tahu selepas lampu isyarat bertukar hijau perempuan itu sudah selamat ke tempat kerjanya.

“Entah bila aku akan berhenti risaukan kau perempuan..” Sunny seakan mengeluh. Dia sudah terjebak dan sukar untuk buat tidak tahu lagi.



SUNNY pusing belakangnya yang bertatu di depan cermin,  lama ditilik..

“Tak lama lagi Sunny..” Malik dapat menyelami apa yang difikirkan oleh Sunny.

“Oh, kau! Macam mana dengan benda baru tu, Si gila tu dah dapat?” tanya Sunny terus menyarung kembali singlet pada tubuhnya.

“Zamri cakap dah dapat, kejap lagi mesti si gila tu call kau. Dia nak harapkan siapa kalau bukan kau,” balas Malik.

Betul kata Malik, handphonenya berbunyi tidak lama kemudian. Sunny jawab panggilan.

“Hm..dah dapat, nanti aku bawak benda tu pergi jumpa Young, kau jangan risaulah. Okey, okey, aku fahamlah!” terus matikan talian. Riak Sunny kelihatan sangat serius.

“Gila! Memang gila! Si gila tu nak edar benda tu kat Karnival Music. Budak-budak ramai, dowh..”

Sunny geleng kepala. Si gila yang hangat diperkatakan itu digelar ayahanda Waris. Nama saja macam pendekar melayu tetapi sebenarnya lintah darat, bapa ayam dan di antara pengedar dadah terbesar di Malaysia. Pemusnah masyarakat demi haloba dunia.

“Benda baru tu, test pun belum. Hu.. memang penghisap darah bangsa!” Malik juga geleng kepala. Mereka sedang berbicara tentang dadah sintetik baru, belum diuji sepenuhnya tetapi si gila itu sudah sibuk nak menjual.

“Nanti pandailah aku..” Sunny sarat berfikir. Dia harus melakukan sesuatu.




“Kita kena cepat!” Malik runsing seperti mereka kesuntukan masa sangat-sangat.

“Jangan risau tahulah aku!” Sunny seorang yang berfikiran tetap.  Protokolnya mudah, cari..tawan..penjarakan.

Malik senyum senget. Tahu sangat protokol lelaki itu.
 
P/S: The other side of Sunny..


6 comments: