Wednesday 19 March 2014


CAPTION: My protocol easy..found..conquered..prisoned..


BAB 1: SUNNY: PROTOKOL CINTA


BIJA  keluar dari emergency, sudah hampir menginjak ke pukul sepuluh malam. Cuaca tidak berapa elok pula malam ini, berangin tetapi tidak pula hujan. Kilat memancar-mancar. Kaki dihayun pantas ke kereta Myvi kepunyaannya yang berada di belakang hospital. Sampai di kereta terus saja masuk tanpa was-was. Tidak terfikir keselamatannya mungkin tergugat.

“Jangan jerit!” terasa lehernya dijerut tiba-tiba dengan lengan, pisau berkilat dihunus betul-betul di depan mukanya. Bija sungguh terkejut!

“Kau nak selamat atau mati?!” bisik suara lelaki di cuping telinganya. Terlalu rapat, boleh terasa telinganya panas dek nafas lelaki tidak dikenali itu. Menggeletar terus seluruh badan, pundi kencing pula terasa penuh dengan tiba-tiba, bila-bila masa jika tahap ketakutannya naik mendadak tidak mustahil dia akan terkencing di situ juga.

“Er..er..atau?” Bija terlepas cakap. Kepalanya cuba nak berfikir cepat-cepat dan akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya. Bukan sengaja nak main-main tapi terlepas! Aduh, gawat!

“Main-main kau, ya?! Aku kelar leher kau baru tahu!” pisau tajam dirapatkan ke leher, mengacah!

“Jangan! Jangan! Nanti Mia kat rumah pengasuh macam mana? Kesian Mia kalau saya tak ada, papa Mia dahlah jarang balik rumah, tolonglah kesiankan kami kalau tak banyak, sikit pun jadilah..” Bija merayu laju-laju. Anak perempuannya yang comel ditinggalkan di rumah pengasuh. Kalau jadi apa-apa dengannya, Mia anak perempuannya yang comel nanti bagaimana? Tidak semena-mena air matanya tumpah. Ya, Allah, tolong aku, bukan demi aku tetapi demi anak kecilku yang masih memerlukan aku. Bija berdoa bersungguh-sungguh!

“Weh, cakap tu jangan laju-laju, mana sempat aku nak dengar!” marah lelaki jahat itu tetapi kemudiannya terdengar lelaki itu mengerang. Pisau yang dihunus ditarik hanya lengan masih menjerut lehernya. Bija lega sedikit.

“Kau diam-diam, jangan cuba nak melawan! Kalau melawan kau takkan jumpa Mia kau sampai bila-bila! Nak?!” ugut lelaki itu.

“Tak nak..” lembik suara Bija menjawab. Sudah tentu dia akan memilih untuk berdiam diri. Dia sayangkan Mia, buah jantung pisangnya.

“Ha..pandai pun kau, jawapan paling bijak! Tak payah sekolah pun pandai kalau macam ni,” sempat pulak lelaki jahat itu buat lawak susah nak gelak. Sah-sah dia tidak akan gelak.

Bija diam hanya terdengar pintu kereta dibuka, tidak lama selepas itu pintu di sebelah penumpang pula dibuka. Lelaki jahat yang berada di belakang tadi sudah bertukar tempat duduk. Parah! Bija cuba menjeling, nak tengok betul-betul siapa orangnya tetapi pisau berkilat tadi dah selesa ‘parking’ di tepi lehernya sekarang. Gulp!

“Kau dengar sini, aku tengah cedera sekarang ni tapi kau jangan ingat aku lemah! Kau pernah dengar harimau yang cedera lagi buas dan bahaya? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya lelaki jahat itu, mungkin ingat dia pekak agaknya tak dapat mendengar apa yang dikatakan. Baiklah, pendengarannya tersangatlah jelas, diyakini! Baru lepas korek pagi tadi lagipun dia bukan golongan OKU pekak perdengaran. Sekian!

“Dengar, dengar, dengar..” Bija dengan kepala diangguk-anggukkan, mengiyakan kata-kata lelaki jahat itu.

“Kalau kau nak Mia kau selamat, kau selamat, tolong aku!” selepas mengugut sedap-sedap lelaki jahat itu meminta pertolongan pula. Kepalanya yang sedari tadi hanya ke depan terus menoleh. Refleks terkejut! Sudah tentu terkejut gila, melihat lelaki jahat  itu berdarah di merata-rata badannya dengan pakaian koyak rabak seperti dilibas-libas dengan parang. Bija mengagak dari luka yang dilihatnya. Pengalaman sebagai jururawat, dia pernah melihat scenario sebegini, selalunya pasal kes amuk atau kongsi gelap. Bergaduh sampai berparang-parang, biasalah tu! Pfftt..

“To..tolong macam mana?” tanya Bija. Dia bukan doktor, hanya seorang jururawat. Diulangi, dia seorang jururawat!

“Kau kerja wad mana?” tanya lelaki jahat itu. Eh, sempat pula bertanya wad mana? Bija pandang pelik lelaki itu. Ini bukan sesi berkenalan, okay! Ini menjurus kepada sesi penculikan, apa kaedahnya bertanya dia bekerja di wad mana?

“Emergency..” jawablah orang dah tanya, kan..

Perfect! Pergi tempat kerja kau cari suture 3/0, 4/0, 5/0, adrenalin, gauze, gamgee, plaster cari yang transparent, bandage, alcohol, iodine. Apa lagi..oo..painkiller tak kisah mana-mana kalau dapat yang kuat lagi bagus!” senafas lelaki itu minta barang-barang perubatan. Tak kekok langsung sebut satu-satu barang. Macam familiar sangat dengan semua barang itu. Bija pelik lagi hairan.

Bija masih terpaku walaupun sudah mendapat arahan dari ‘tuan doktor’.

“Tunggu apa lagi! Kau nak aku cari Mia kau sekarang ke?” ugut lelaki jahat itu suka-suka hati.

“Eh, okey, okey, saya pergi sekarang. Tolong jangan buat apa-apa dengan Mia saya!” Bija baru sedar diri bila diugut lagi dengan Mia, buat apa lagi terpaku, cari semua barang cepat-cepat! Bija kalut buka pintu. Baru nak turun dia teringatkan sesuatu.

“Tapi..”

“Tapi apa?” keras lelaki jahat itu bertanya. Lebih kepada suara menahan kesakitan.

“Maaf, kalau tak ada suture yang nak tu macam mana? 3/0 dengan 4/0 banyaklah kat emergency tapi 5/0 selalu ada kat OT aje,” baru teringat 5/0 hanya sesuai untuk kulit muka kerana saiznya halus. Emergency hanya ada 3/0 dan 4/0 sesuai untuk kulit anggota badan. Memilih betul orang jahat ni! Tahu pula tak nak muka tu berparut!

“Aku tak kira, 5/0. Kau cari sampai dapat!” lelaki jahat itu bertegas dengan apa yang diinginkan.

Bija malas nak banyak bunyi terus keluar. Tutup pintu..

Demand kuat!!” Bija sempat mencemuh.

Bija berjalan cepat ke emergency, sampai saja terus tangannya mencapai barangan yang dipinta di bilik rawatan dan di bilik suntikan. Semuanya dimasukkan ke dalam beg galas. Sebaik saja keluar, boleh pula dia bertembung dengan teman sekerja.

“Eh, bukan kau dah balik ke tadi?” tanya Rani. Terkejut melihat Bija masih berada di situ.

“Tertinggal barang!” Bija bagi alasan tetapi muka kalut semacam. Dahi berpeluh-peluh padahal emergency sepenuhnya berpenghawa dingin.

“Oo..kau tak sihat ke? Berpeluh saja ni?” tanya Rani lagi, pelik melihat telatah teman sekerja pelik semacam.

“Haah..macam nak demam, aku balik dululah Rani,” cepat-cepat Bija minta diri. Dia tidak boleh berlama-lama, buat kepala tak betul orang jahat itu pergi cari Mia bagaimana? Bija ketakutan.

Bija kalut panjat tangga ke tingkat empat untuk ke dewan pembedahan mengambil suture yang diminta, sempat berselisih bahu dengan seorang jururawat. Beg galas terjatuh ke bawah, Bija kalut tunduk mengambil begnya yang jatuh. Tanpa mohon maaf terus panjat tangga ke tingkat atas, langsung tak pandang jururawat yang baru dilanggarnya tadi. Kalut punya pasal!

“Apa malang asyik kena langgar saja ni!” omel jururawat bernama Edlin itu sebelum meneruskan langkahnya turun ke tingkat bawah.

Setelah, segala barangan yang dipinta diidapati Bija tergesa-gesa pergi ke kereta Myvinya semula. Lega kerana keretanya masih di situ. Bija ketuk tingkap kaca supaya kunci pintu dibuka dari dalam.

“Lambat betul! Sikit lagi aku nak jadi orang kurang sabar, kalau aku kurang sabar dah lama aku pergi cari Mia kau tadi!” bebel si jahat dengan muka mengantuk. Ceh, sempat buat tahi mata!

“Dah, saya dah bawa semua barang..” kata Bija perlahan. Jantung berdetak laju macam orang sakit jantung. Dalam hati tidak putus-putus beristighfar dan menyebut kebesaran Allah. Berharap dia dan anak kecilnya sentiasa dilindungi Allah.

“Bagus, jom, kita pergi jemput Mia! Aku nak jumpa Mia, mesti comel macam kau, kan!” pipi Bija dicubit kuat.

“Aduh, sakitlah!” Bija mengaduh sakit sambil menjeling garang. Mulut kumat-kamit menyumpah dalam hati.

“Dah, jom, jom, pergi ambil Mia. Mesti Mia dah lama tunggu,” gesa lelaki jahat itu siap tepuk stereng dipegang oleh Bija. Terkejut Bija dibuatnya.

“Er..nak tanya sikit boleh?” Bija beranikan diri bertanya. Dia perlu tahu sesuatu.

“Hm..tanya apa? Mood aku tengah baik ni, baik kau tanya benda elok-elok!” lelaki jahat itu benarkan Bija bertanya tetapi sempat lagi nak mengugut. Tangan yang memegang pisau ‘parking’ di belakang kepala Bija pula.

“Kalau saya tolong awak, awak boleh tak jangan apa-apakan saya, Mia saya..” pinta Bija dalam takut-takut. Dia terlalu risaukan Mia.

“Baik kau jalan sekarang!” arah lelaki jahat itu terus mengacu pisau ke leher selepas mendengar kata-kata Bija.

“Awak..tolong jangan apa-apakan kami, lebih-lebih lagi jangan apa-apakan Mia,” Bija masih belum menggerakkan keretanya. Cuba berunding.

“Jalan cepat! Aku ni banyak bleeding, karang aku kelar leher kau kat sini, nak?!” ugut lelaki jahat itu dengan garang tetapi kedengaran suara mengerang dihujungnya.

“Selagi awak tak janji tak apa-apakan kami, saya takkan pergi ke mana-mana!”

“Kau tak takut?” pisau diacah lagi.

“Saya takut tapi saya rela mati demi Mia saya!” Bija bertegas!

“Baik kau jalan, bukan dengan kau saja aku bunuh, dengan Mia kau sekali aku cari dan bunuh. Aku tak fikir nak bunuh orang sekarang ni tapi jangan kau buat aku rasa nak bunuh orang!” lelaki itu mengugut dengan suara semakin terdesak!

“Okey, okey, saya gerak sekarang, nanti kat depan ada security guard, tolong duduk betul-betul, pisau tu tolong jauhkan sikit, ya!” dalam keterpaksaan Bija memulakan pemanduan. Tangan basah dengan peluh memegang stereng. Ketakutan yang teramat!

Sebaik saja hampir melalui pemeriksaan security guard, lelaki jahat itu melindungi badannya dengan beg galas, sweater dan topi. Sebijik macam orang tengah tidur dengan topi ditutup sepenuhnya pada muka.

“Pandai betul!” omel Bija dengan kelicikan lelaki jahat itu melindungi dirinya.

“Aku dengar!” sempat pula dengar  orang mengomel. Huh!



PINTU gril dibuka, terpaksa memapah lelaki jahat itu masuk ke dalam rumahnya. Terpaksa!

Selepas dudukkan lelaki jahat itu di atas sofa, Bija keluar mengambil Mia di rumah pengasuh yang berada di tingkat bawah. Terpaksa tebalkan muka dengan pengasuh sewaktu mengambil Mia kerana dia sudah terlalu lewat mengambil Mia. Seperti yang dijangka Kak Midah dengan muka cemberut menarik keluar Mia yang sedang terpisat-pisat. Kasihan anak mama, mungkin ditarik begitu saja dari tidur. Sedih tetapi apalah daya dia sebagai mama yang bekerja.

“Dah lewat dua hari ni, bila nak bayar duit mengasuh ni?” Kak Midah bertanya kasar.

“Esok saya bagi kak, belum sempat pergi tekan duit lagi,” beritahu Bija. Perit bila kenangkan baki gaji di dalam akaun bank. Baru dua hari gaji keluar tetapi gaji sudah tinggal sedikit.

“Hm..” Kak Midah sengaja tutup pintu dengan kasar. Hati Bija cukup terasa.

Perlahan diangkatnya Mia dalam dukungan, jiwanya berlagu sendu. Meratapi nasib diri yang semakin hari semakin sukar. Teringat orang jahat di rumahnya buat hatinya bertambah walang. Kepalanya sibuk membelek naskhah akhbar yang pernah dibaca sebelum ini tentang pembunuhan ngeri. Doa tidak putus-putus di dalam hati, berharap selepas malam ini segalanya akan bertambah baik. Yang penting dia dan Mia tidak diapa-apakan.

Bija masuk ke dalam rumah, dilihatnya lelaki itu sedang menyelongkar beg galas tadi. Tanpa bersuara Bija meletakkan Mia di atas katil. Mia sambung tidurnya kembali.

“Kau datang sini, tolong aku cuci luka ni!” panggil lelaki jahat itu tatkala melihat Bija keluar dari biliknya. Bija takut-takut nak datang dekat.

“Sinilah!” herdik lelaki itu dengan kasar.

Bila diherdik barulah Bija menghampiri. Lelaki itu selamba membuka bajunya. Mata Bija terpaku melihat tatu matahari pada badan lelaki itu. Sah, kaki samseng kongsi gelap! Jelik betul sewaktu Bija melihatnya.

“Apa tengok lagi!” herdik lelaki itu lagi. Bija pakai glove, dia perlu mengambil langkah berhati-hati dengan orang macam ni. Dengan berhati-hati, Bija mengeluarkan disposable dressing, dia menuang lotion untuk mencuci luka.

“Kau pandai jahit luka?” tanya lelaki itu lagi.

“Pandai!” jawab Bija, memang selalu sangat kalau di emergency tu. Kalau nak jahit mulut orang pun lagi dia boleh. Menggumam!

Good..hm..kau jahit luka kat peha aku ni dulu,” lelaki jahat itu menghalakan matanya ke arah pehanya yang masih memakai seluar tetapi sudah koyak-rabak dengan kesan libasan parang.

Bija pandang peha lelaki itu yang berbalut ikatan kain. Bija tahu mengapa diikat begitu kerana lelaki itu cuba menghentikan pendarahan. Mata Bija sepet tiba-tiba sedang berfikir bagaimana nak menguruskan luka yang merata-rata di badan lelaki itu.

“Okey!” Bija mula bertindak, segala kemahiran yang ada Bija merawat lelaki itu. Bermula dengan peha lelaki itu, tanpa bertanya atau meminta izin selamba saja Bija mengoyakkan seluar yang dipakai. Lantak!

Luka dicuci lalu mula melakukan suturing. Bija melakukannya dengan tekun. Selepas itu, Bija memecahkan ampul adrenalin lalu dibasahkan dengan gauze lalu ditekapkan pada luka yang sudah dijahit kemas. Fungsi adrenalin dapat menghentikan perdarahan. Lelaki itu hanya memerhati hasil kerja perempuan di depannya yang ternyata kemas. Lelaki itu berpuas hati!

“Bagus jugak jahitan kau, ya!” puji lelaki jahat itu. Bija toleh seketika, matanya dapat melihat lelaki jahat itu sedang menahan kesakitan.

“Hm..bolehlah..” kata Bija dengan perasaan lega kerana dengan tangan menggigil dia boleh menjahit dengan baik. Karang kalau tersalah jahit bimbang juga menaikkan kemarahan lelaki jahat itu. Bija sangat takut tetapi apa yang paling dia takuti jika lelaki jahat itu mengapa-apakan Mia. Bija cuba tidak membuatkan lelaki jahat itu berang.

Lelaki jahat itu hanya mendiamkan diri sambil memejamkan matanya. Bija sempat menilik wajah lelaki jahat itu sewaktu dia mula merawat luka yang lain pula. Wajah lelaki jahat itu comot dengan darah mengalir yang sudah kering. Dengan janggut dan misai yang serabai memang sesuai sangat dengan watak penjahat. Bija geleng kepala.

Tiba giliran luka di belakang, tempat tatu matahari. Luka itu mencacatkan sedikit lukisan tatu matahari itu. Bija bersihkan luka dan darah yang sudah kering melekat pada kulit. Selepas itu dengan berhati-hati dia melakukan suturing. Terdengar lelaki itu mengerang. Bija tiba-tiba berdecit turut merasakan  kesakitan yang lelaki itu tanggung.

Sekarang giliran luka pada muka, pipi sebelah kanan.

“Saya nak cuci luka kat pipi,” kata Bija, karang terkejut pulak kalau terus cuci. Lelaki jahat itu mungkin tertidur. Diam saja dari tadi.

Lelaki jahat itu buka matanya, terus pandang tepat ke mata Bija. Jarak mereka terlalu dekat.

“Kau cuci aje nanti aku jahit sendiri,” arah lelaki jahat itu.

“Hah?” Bija terkejut, lelaki itu nak buat sendiri? Pandai ke?

“Tak payah buat muka terkejut sangatlah! Pergi ambil cermin!” arah lelaki itu lagi tatkala melihat riak wajah Bija macam tak percaya.

Bija bangun lalu masuk ke dalam bilik mencari cermin yang di minta. Selepas itu datang kembali dengan cermin di tangan.

“Kau pegang cermin ni betul-betul,” arah lelaki itu lagi. Bija pegang cermin sambil memerhati lelaki jahat itu tidak kekok langsung menggunakan needle holder dan mula melakukan suturing. Melihat kecekapan lelaki jahat itu menjahit luka di pipinya sendiri menimbulkan perasaan kagum di hati Bija. Siapakah lelaki ini sebenarnya? Ahli kongsi gelap dengan kecekapan setanding seorang doktor? Sangat pelik!

Urusan jahit menjahit luka selesai juga akhirnya. Bija mengemaskan segala barangan dan tempat yang bersepah dengan gauze yang dikotori darah. Barangan untuk menjahit yang dicilok dari emergency wajib dipulangkan cepat. Karang ramai pula yang tertanya-tanya. Dia sudah menjadi pencuri disebabkan lelaki itu. Bija mengeluh tanpa sedar.

“Aku nak mandi!” kata lelaki itu terus bingkas bangun.

“Ah, okey!” tanpa banyak soal, Bija ke dalam biliknya mencari tuala. Tidak lama kemudian keluar dengan sehelai tuala.

“Bilik air ada di dapur,” Bija tunjuk arah ke dapur.

Lelaki jahat itu capai tuala terus ke dapur. Bija lihat lelaki itu kelihatan mula cergas selepas lukanya dirawat. Kalau orang biasa-biasa mungkin lesu tidak bermaya tetapi lelaki itu kelihatan gagah pula. Bertambah-tambah pelik Bija rasa.

Lelaki jahat itu keluar tidak lama kemudian dengan hanya bertuala. Nasib baik pakai plaster transparent kalis air tak adalah basah tempat luka yang baru dijahit. Mata Bija menyinggah lama di badan lelaki itu, menilik. Badan sasa yang kekar dengan tatu matahari, mungkin bagi sesetengah orang nampak macho tetapi baginya nampak jelik. Terlintas di fikiran bangsa apakah lelaki itu? Kalau bertatu kemungkinan bukan muslim.

“Kenapa? Aku nampak seksi ke?” lelaki jahat itu bertanya sambil merenung tajam ke mata Bija. Perasan perempuan itu leka benar menilik badannya.

Bija yang leka menilik, hampir tersedak mendengar kata-kata lelaki jahat itu terus mata dialih ke arah lain. Huh, perasan!

“Kau terpikat ke?” lelaki jahat itu pandai pula menggiat Bija. Tersengih tetapi nampak buruk benar di mata Bija. Eeuuwww..

“Tahu tak dalam dunia ni ada satu penyakit yang memang tak akan ada ubat, penyakit perasan bagus!” terkeluar dari mulut Bija tanpa sedar. Selamba!

Sesaat, Bija terus tepuk mulutnya banyak kali, boleh pula celupar tiba-tiba. Ops! Ops!

“Kau tak sayang mulut ke? Suture tadi ada lagi, kan? Biar aku jahit mulut kau kejap lagi!” lelaki itu berang.

“Sorry, sorry, tak sengaja, tak sengaja, okey, saya diam, saya tak cakap apa-apa dah,” Bija terus tekup mulutnya. Dua biji mata bundarnya saja yang terkelip-kelip.

“Jangan buat muka pussy cat doll sangatlah!” dahi Bija ditunjal kuat. “Aku nak pakai baju!” kata lelaki jahat itu, remote control tv diambil. Tv dibuka.

Bija ke bilik lagi, dua tiga kali duk ulang alik ke bilik. Kali ini mencari pakaian untuk lelaki jahat itu pula. Bija mencari pakaian suaminya yang mungkin sesuai untuk lelaki itu. Bila teringatkan suaminya, Bija mengeluh. Suaminya sudah lama tidak pulang ke rumah. Makan pakai dan kehidupannya dengan Mia suaminya langsung tidak peduli. Rumah tangga dibina selama lima tahun menanti rebah sahaja. Semuanya kerana orang ketiga, suaminya tergila-gila perempuan lain. Dengar khabar sudah berkahwin lain, dia ditinggalkan terkontang-kanting. Nasib baik ada Mia pengubat luka di hati, kerana si comel itu dia masih bertahan sehingga kini. Kini, dugaan lain pula yang mendatang. Keselamatan mereka berdua terancam dengan kehadiran lelaki tidak dikenali itu.

Bija keluar bersama pakaian. Lelaki jahat itu mengambil lalu dengan selamba memakai pakaian diberi di depan Bija. Bija pula yang kena pusingkan badannya ke belakang. Aduh!



BERITA tengah malam di tv3 bersiaran, lelaki jahat itu terlalu kusyuk melihat berita di tv. Bija ke dapur selepas mendapat arahan menyediakan makanan pula. Huh, tak habis-habis mengarah itu dan ini. Naik menyampah pula!

Tengah-tengah malam menggoreng nasi, nasib baik ada sosej dengan telur. Jadilah, dari tak ada apa langsung, kan. Bija bawa nasi goreng ke depan bersama milo panas satu muk.  Berasap-asap!

Sewaktu meletakkan makanan mata Bija juga pandang berita di tv. Berita tentang pergaduhan  kongsi gelap, Bija lihat berlimpangan beberapa orang lelaki dalam keadaan cedera parah mungkin juga ada yang mati. Drastik matanya terus pandang wajah lelaki itu kelihatan tiada riak langsung. Bija syak lelaki itu juga terlibat sama. Jantungnya dipalu lagi, berdenyut laju selajunya. Tubuhnya menggeletar ketakutan, lutut terasa lemah untuk berdiri. Wajah pucat lesi!

“Selagi kau ikut segala apa yang aku kata, nasib kau tak akan jadi seperti mereka,” lelaki itu tiba-tiba bersuara tanpa mengalihkan pandangan matanya dari tv. Hanya Bija tercengang memandang lelaki itu.

“Kau dengar?” bersuara keras!

“De..dengar..” Bija semakin kecut perut!

“Aku nak tidur!” selamba terus pejam selepas tv dipadamkan. Tiada lagi arahan. Bija masih berdiri di situ, dilihatnya lelaki itu seperti tidak tidur saja. Statik, berpeluk tubuh dengan mata dipejamkan saja. Bahasa tubuh lelaki itu seakan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin inilah kehidupan kongsi gelap perlu sentiasa berjaga-jaga.

Perlahan Bija ke biliknya, pintu dikunci rapat-rapat. Bija kalut berfikir bagaimana nak mempertahankan diri daripada lelaki itu. Bija terlalu takut jika lelaki jahat itu masuk ke dalam bilik mereka berdua. Bija tidak percaya langsung dengan lelaki jahat itu. Perasaan takut dan curiga kuat menguasai diri. Bija tilik handphone, berbelah bagi untuk menelefon pihak berkuasa, jika dia meneruskan niatnya selamatkah mereka berdua? Jika dia hanya berdiam diri, selamatkah mereka berdua? Bija mundar-mandir gelisah!

Tiba-tiba pintu ditendang kuat dari luar. Bija terkejut besar! Tergamam melihat lelaki jahat itu masuk ke dalam biliknya dengan muka bengis. Handphone di tangannya dirampas kasar.

“Aku dah agak! Kau keluar sekarang!” pisau dihunus mengarahkan Bija keluar dari bilik.

Menggeletar seluruh badan, Bija terus melangkah laju keluar bilik. Terlalu kalut sehingga membuatkan Bija terjatuh-jatuh. Sungguh, lututnya lembik. Bija terpaksa merangkak sehingga ke sofa, dia tidak mampu berdiri lagi. Air mata merembes laju, kepalanya sudah terfikir kemungkinan buruk yang bakal berlaku dengannya. Jika begini pengakhiran hidupnya, Bija berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati supaya Allah selamatkan Mia.

“Kau memang nak mati!” lelaki jahat itu menghampiri, leher baju Bija dicekak kasar. Bola mata lelaki jahat itu yang kelihatan merah menyala sangat menakutkan. Bija pejam mata. Sungguh, dia terlalu takut!

“To..tolong jangan apa-apakan saya, Mia masih perlukan saya..” rayu Bija sudah teresak-esak.

“Dengan anak kau sekali aku hantar ke syurga!” leher baju Bija sekali lagi dicekak kuat sehingga badan Bija terangkat. Hanya hujung ibu jari kaki cecah ke lantai.

“Jangan! Mia tak salah, Mia tak berdosa, dia masih kecil!” Bija merayu mendayu-dayu, wajah lencun dengan air mata. Di dalam hati sangat berharap suaminya akan pulang di saat genting begini menyelamatkan mereka berdua.

“Kau ni..!!” lelaki jahat itu seperti muak mendengar rayuan Bija. Dengan wajah paling berang lelaki jahat itu menghayunkan tangannya ke leher Bija. Hayunan yang pantas!

Sekeliling menjadi gelap gelita..

7 comments: