Monday 31 March 2014

BAB 3: SUNNY: PROTOKOL CINTA





~ Aku tak pernah merancang untuk jatuh cinta denganmu ~

BIJA pelik, sudah masuk kali ketiga dia menerima bantuan dari badan NGO yang tidak diketahui organisasinya. Dia tidak pernah memohon apa-apa dari  mana-mana perbadanan kerana kesusahannya. Dia masih mampu bertahan, walaupun gajinya hanya cukup-cukup makan. Lambat-laun dia yakin dapat mengatasinya juga kerana gajinya akan meningkat setiap tahun. Hanya masa akan menolongnya.

“Saya dari perbadanan persendirian mendapat maklumat yang puan memerlukan pertolongan. Puan jangan risau, bantuan kami ikhlas dan boleh dipercayai. Jika puan ragu-ragu, puan boleh hubungi NGO kami,” lelaki bertali leher dan berkemeja kemas itu menghulurkan kad. Bija ragu-ragu sewaktu mencapai kad itu.

“Yayasan Cahaya?” Bija masih curiga. Dunia sekarang bukan boleh percaya semua bersebab, tidak mustahil perbadanan ini juga. Bija tidak ingin terjebak dengan perkara-perkara tidak betul yang mungkin melibatkan jenayah atau akidahnya.

“Silakan puan hubungi admin kami, percayalah kami hanya NGO biasa yang hanya nak menolong,” lelaki itu cuba meyakinkan Bija.

“Baiklah, terima kasih,” Bija tidak mahu bercakap lebih lama di depan pintu rumahnya. Nanti menjadi fitnah pula. Sudahlah, dia selalu menjadi buah mulut di flat itu. Bija tidak mahu menambah lagi fitnah yang sudah sedia ada.

“Puan kena terima barangan makanan yang kami bawa ni,” beberapa plastik Giant berisi pelbagai barangan makanan dihulur kepada Bija.

“Saya tak boleh terima, maaf..” Bija tidak ingin menerima, dia tidak tahu siapa yang memberi. Bija tidak tahu niat dan asal barangan itu, perasaannya was-was, bila was-was dia tidak akan mengambilnya.

“Maaf juga sebab saya tak boleh bawa semua barang-barang ni balik. Ini amanah NGO, saya harus sampaikan,” lelaki itu berkeras terus meletakkan semua barangan di depan pintu Bija.

“Eh, encik..” Bija masih ingin membantah tetapi lelaki itu terus pergi. Langsung tidak menyahut panggilannya. Sudahnya, Bija terpaksa juga bawa masuk segala barangan yang ada.

Selepas meletakkan semuanya di dapur, Bija tengok kad yang diberikan oleh lelaki itu tadi. Kemudian, terus mendail nombor yang tertera pada kad nama itu.

“Hello..” Bija dengan suara teragak-agak.

“Hah, hello!” kasar suara yang menyambut panggilan daripada sana. Bija terkejut!

“Er..hello..ini Yayasan Cahaya ke?” tanya Bija ragu-ragu. Mungkin dia silap dail.

Lama talian dibiar sepi..

“Hm..betul..Yayasan Cahaya..siapa yang bercakap di talian,” suara yang menjawab kasar tadi sudah bertukar lunak. Bija semakin curiga.

“Saya Nurbijaseri..pihak tuan ada datang ke rumah saya bawa bantuan dari perbadanan tuan. Saya cuma nak cakap saya tak pernah mohon apa-apa dari mana-mana perbadanan pun. Saya rasa pihak tuan salah orang ni,” ujar Bija menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Begini puan, saya Haji Sani pemilik Yayasan Cahaya. Pihak kami telah menerima permohonan puan dari pihak hal ehwal pekerja di tempat kerja puan. Puan salah seorang nama yang telah diberikan untuk menerima bantuan kami. Mungkin mereka dah pilih, dah tapis dan nama puan tersenarai,” jelas Haji Sani dengan suara bersahaja.

“Yeke?” Bija masih ragu-ragu. Tetapi, dia pernah juga dipanggil oleh pihak atasan kerana gajinya ditakat negative satu waktu dulu. Mungkin juga..

“Ya, puan!”

“Baiklah, tetapi selepas ini saya rasa cukuplah apa yang tuan bagi tu. Saya tak perlukannya,” Bija mengalah tetapi memberitahu itulah kali terakhir dia menerima bantuan dari perbadanan lelaki bergelar haji itu.

“Terima kasih..” Bija matikan talian. Kemudian ke dapur, mengemas segala barangan yang ada di dalam plastik. Sewaktu mengemas barangan, Bija dikejutkan lagi dengan penemuan sampul surat berisi beberapa keping wang bernilai seratus. Bila dikira-kira, kesemuanya berjumlah seribu ringgit. Biar betul!

Bija bukan jadi senang hati tetapi bertambah susah hati.

 

 

KAU ni! Terperanjat beruk la perempuan tu tiba-tiba dapat bantuan makanan. Lepas tu, kau masukkan lagi duit seribu ringgit. Aku pasti, mesti dia terkejut gila!” Malik gelak dengan apa yang dilakukan oleh Sunny. Nak tolong, tolong la jugak tapi biarlah natural sikit.

“Jangan sibuklah!” Sunny merengus kerana ditertawakan. Dia hanya nak menolong. Dia terlalu kasihan dan tak sampai hati melihat perempuan itu makan tak tentu hala. Mia tu, hari-hari makan mee segera, memang tak sihat!

“Haji Sani? Terbaik! Hahaha..” Malik gelak lagi.

“Baik kau diam! Tak pasal aku bagi makan dengan tapak kasut aku ni, kan!” Sunny berang kena gelak.

Kata-kata amaran Sunny tidak diendahkan, Malik bantai gelak lagi kuat!

Sunny bawa diri ke dalam biliknya, malas nak melayan Malik lagi. Tak pasal betul-betul mamat tu makan tapak kasut karang!

“Nurbijaseri..” tercetus di bibir Sunny. Baru Sunny tahu nama perempuan itu yang sebenarnya. Sunny senyum nipis.

 

 

BIJA pulang dari bekerja petang, selepas turun dari LRT dia menapak menuju ke rumah. Dia pulang agak lewat kerana urusan kerjanya belum selesai. Biasalah, sebagai jururawat bekerja di jabatan kecemasan dia sudah siap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuklah pulang lambat.

“Hai, cik misi! Baru balik?” Bija ditegur seorang lelaki. Bija menoleh, rupanya suami kak Midah. Bija tidak mengendahkan lelaki itu terus berjalan.

“Kenapa cepat sangat jalannya, kita jalan sama la..” suara suami kak Midah lembut semacam. Bija buat tidak tahu teruskan langkahnya. Kalau dilayan nanti semakin menjadi-jadi. Karang dia juga yang dicop menggatal. Huh!

“Bija makin cantik sekarang lepas bercerai, geram je abang tengok!” Khalil suami Midah cuba mengorat janda cantik itu. Mata Khalil menjelajah penuh nafsu ke belakang cik misi. Khalil geram je tengok tubuh cik misi dengan uniform putih. Ikut bentuk badan dan putih. Mata kurang ajar tak berkelip melihat punggung lentik cik misi. Ooo..la..la..

Bija geli-geleman mendengarnya, langkah dilajukan lagi. Suami kak Midah macam tak faham bahasa menyaingi langkahnya selepas itu suka-suka hati menyenggol bahunya beberapa kali. Hii..geli tahu!

“Ish, tepilah!” Bija merengus marah. Bengang dengan sikap miang suami kak Midah yang sesuka hati sentuh badannya.

“Mesti Bija dah lama gersang, kan..” kata Khalil tanpa rasa malu. Bahu Bija dipaut tanpa izin.

“Hei..” Bija menjerit. Terkejut sangat dengan sikap kurang ajar suami kak Midah.

Khalil pandang sekeliling. Keadaan sekeliling senyap dan sunyi, Khalil sengih. Urusannya semakin mudah apabila melihat sekeliling sunyi sepi.

“Meh la ikut abang..” Khalil tangkap pergelangan tangan Bija. Nafsunya bergelora setiap kali melihat perempuan itu, sewaktu bergelar isteri orang sementelah sudah menjadi janda berhias seperti sekarang. Dia tidak akan melepaskan peluang yang sudah berada di depan mata.

“Apa ni? Janganlah!” Bija cuba merentap lengannya. Khalil memperkemaskan pegangan malah menarik Bija ke tempat gelap.

“Ikut abang! Bija pasti akan suka, abang pandai layan perempuan. Midah isteri abang tu, hari-hari nak, cuma abang dah tak lalu. Badan dah la kepam..tembam..tak selera abang,” Khalil sempat merungut tentang isterinya, Midah.

“Lepaskan! Bija ni janda, ada anak, jangan buat Bija macam ni. Kasihankan Bija..” Bija merayu jangan diapa-apakan dirinya.

“Janda la abang nak sangat. Jom, jom..abang dah tak tahan ni..” Khalil cuba memeluk. Bija sempat menendang kaki Khalil lalu melepaskan diri dengan berlari selajunya.

“Jangan nak lari!” Khalil sempat menarik lengan Bija. Lantas dipegang kedua belah bahu Bija.

Bija cuba meloloskan dirinya tetapi pegangan lelaki itu kuat. Bija meronta-ronta.

“Bija, bukan luak pun, bukan Bija tak pernah buat sebelum ni. Sekali je..” pujuk Khalil di telinga Bija. Seluruh badan menggeletar menahan nafsu. Kalau diikutkan, di sini juga nak direntap uniform putih janda itu tetapi tempat seperti tidak mengizinkan. Kalau dapat ke rumah janda itu lagi bagus. Dia perlu pandai memujuk.

“Nanti abang bagi duit, Bija perlukan duit, kan? Abang tahu Bija banyak hutang. Kalau Bija pandai layan, abang boleh tolong Bija langsaikan hutang, kita pergi rumah Bija, ya..” pujuk Khalil dengan suara paling lembut dan menggoda.

“Lepas! Lepas!” Bija berang mendengar kata-kata lelaki itu. sepertinya dia seorang perempuan yang sangat terdesak. Dia masih boleh bertahan, okey!

“Bija sayang..” bicara lembut di lidah tetapi Khalil mengasari sehingga Bija terperusuk di tepi dinding. Dihentak kuat!

“Tolong! Tolong!” serentak itu juga Bija menjerit nyaring meminta pertolongan.

“Shh..jangan jerit!” Khalil tangkas menekup mulut Bija. Tetapi, Bija pantas memijak kaki bedebah itu kuat-kuat dan lari semahunya.

“Tolong saya! Tolong saya!” Bija berlari menonong sehingga tidak sedar merempuh seseorang di depannya kerana kepalanya sibuk pandang ke belakang.

“Aahhh..” Bija berlaga dengan seseorang. Momentum perlanggaran sangat kuat! Bija hampir terjatuh tetapi sempat ditahan oleh tangan orang yang dirempuh.

Bija mendongak..

“Awak?”

“Kau?”

Mereka berdua saling berbalas pandang. Bija di pihak paling terkejut kerana terjumpa lagi dengan lelaki yang pecah masuk keretanya dan mengugutnya dulu. Ingatkan dah arwah kena tetak, rupanya hidup lagi!

“Kau, kenapa lari macam kena kejar polong ni?” Sunny bertanya kasar. Tadi, dia sibuk memerhati rumah janda itu tetapi langsung tak nampak bayang setelah lama berada di situ. Dia tidak sedap hati, itu yang nak bergegas ke stesen LRT mana tahu baru pulang dari bekerja. Alih-alih, orang yang dinanti berlari macam orang kena kejar polong. Apa hal?

“Jangan lari!” Khalil yang mengejar daripada belakang baru saja sampai. Terkejut melihat Bija dengan seorang lelaki tidak dikenali.

Nampak saja kelibat Khalil, Bija terus pegang lengan lelaki itu lalu bersembunyi di belakang.

“Kau siapa?” tanya Khalil kasar. Sakit matanya melihat janda itu selamba memegang lengan lelaki lain. Dengannya tidak mahu tetapi dengan jantan lain boleh pula pegang-pegang. Khalil cemburu gila, kerana lelaki di depannya nyata seorang lelaki tampan. Huh, yang tampan saja kau pandang, ya perempuan!

“Aku?” Sunny tunjuk jari pada dirinya sendiri. Pegangan erat perempuan itu di lengannya membuatkan dia macam orang bingung sekejap.

“Oo..dengan lelaki lain boleh, dengan abang tak boleh. Lelaki macam ni nak buat suami ke? Tak pasal kena main saja nanti!” cemuh Khalil bengang Bija lebih memilih lelaki lain daripadanya.

“Hei..hei..siapa cakap aku nak jadi suami perempuan ni? Kau pandai-pandai je!” Sunny menafikan.

“Hei..hei..kenapa? Teruk sangat ke kalau jadi suami saya?” Bija pula yang berang. Kenapa? Dia tak layak bersuamikah? Pasal tu dia ditinggalkan? Urghhh..tiba-tiba Bija jadi geram gila dengan kerenah lelaki di sekelilingnya.

Bija terus melepaskan pegangan tangannya pada lengan lelaki itu. Huh, semua lelaki sama! Dah pupuskah lelaki baik di dalam dunia ni? Bija rasa nak menjerit kuat-kuat. Sakit hati!

“Dengan aku? Kau? Nehhh..” Sunny geleng kepala dengan memek muka menidakkan.

Bija berkerut dahi tanpa sedar gigi diketap-ketap. Penghinaan tu!

“Hei..hei..aku ni ada lagi kat sini!” Khalil bengang dia macam halimunan pula di situ. Macam tengok pasangan bercinta bergaduh. Huh, tak boleh jadi!

“Kau apa hal main kejar-kejar ni? Tadika dulu tak puas lagi ke?” tanya Sunny kasar. Sunny mengagak lelaki tak semengah itu cuba berniat tidak baik dengan perempuan ‘jagaannya’. Silap besar, bro!

“Kau tak minat dengan perempuan ni, kan? Baik kau blah!” halau Khalil apabila melihat reaksi lelaki itu hanya bersahaja dengan janda itu.

“Kalau aku tak minat, itu aku punya pasal! Baik kau yang blah!” Sunny senyum sinis dengan Bija. Sengaja nak kenakan Bija sebenarnya. Riak cemberut di wajah perempuan itu sangat menggelikan hatinya.

“Aku cakap blah!” Khalil terkam dengan penumbuk di muka. Sedas mengenai pipi Sunny. Okey, Sunny akui dia boleh cuai pula kali ini kerana leka senyum sinis dengan perempuan itu. Dan-dan itu jugak Tuhan bayar cash! Hambik kau!

Sunny membetulkan kepalanya yang terasa bengang akibat ditumbuk. Okey, sekarang masa buku bertemu dengan ruas!

Sunny senyum cool, menanti gerak langkah samdol di depannya. Jenis samdol macam ni, gaya pasar lambak semua keluar ikut suka hati. Khalil serang lagi, kali ini setiap tumbukan hanya merasa angin kerana Sunny tangkas mengelak. Tatkala, melihat samdol sudah penat pukul angin sekali libas macam sepak takraw samdol jatuh tak bangun-bangun. Strike!

Sunny pusingkan badannya, ingat nak tengok perempuan itu apa cerita. Sekali, tak sangka perempuan itu boleh pula betul-betul berada di belakangnya. Kakinya terpijak kaki perempuan itu, perempuan itu menjerit menyebabkan dia terkejut dan hilang imbangan. Mereka sama-sama terjatuh tetapi perempuan itu pula yang kena hempap. Landing tempat baik..ehem..

“Sakitlah!” rungut Bija cuba menggerak-gerakkan dirinya supaya samseng di depannya cepat mengalihkan badannya. Berat gila!

Sunny bangun.

“Aduhh..” Bija tak habis merungut. Badannya sakit-sakit kena hempap tak pasal-pasal!

“Sikit je tu!” Sunny mencebik. Tadi jatuh bukannya kena hempap betul-betul pun, sipi-sipi je. Macam tu pun tak habis nak merungut! Perempuan..

“Nasib saya selalu malang kalau jumpa awak, hari tu suka hati awak karate tengkuk saya sampai saya tak sedar diri. Saya tak pergi kerja hari tu, sister tuduh saya absent tahu tak!” Bija mengungkit kisah dua bulan sudah, sister tidak mahu menerima alasannya terus mengklasifikasi dia sebagai absent. Apa lagi, surat tunjuk sebab perlu dihantar segera. Rosak habis reputasi pekerjaannya. Bukan itu saja, disebabkan lelaki itu dia jadi sangat trauma. Balik kerja selagi tak puas hati memeriksa ke dalam kereta dia tidak akan masuk. Lelaki itu buat hidupnya ketakutan sebulan lamanya. Selepas itu, dia dirundung kesedihan melampau pula apabila diceraikan begitu saja oleh bekas suaminya. Bertimpa-timpa!

Kini, lelaki itu muncul lagi. Hairan kerana dia tidak pula takut seperti sewaktu mula-mula bertemu dahulu. Wajah lelaki itu kelihatan bersih dan jernih, tidak macam dulu dipenuhi dengan darah. Dalam diam, Bija baru perasan lelaki itu tampan juga rupanya.

“Habis kau nak call polis, ingat aku nak biar je?” balas Sunny. Aii..kenapa perempuan ni tak takut pula dengannya? Tak boleh jadi, Sunny tunjuk muka garang.

Bija beranikan diri. Dia tidak akan biarkan dirinya terjebak dengan orang sebegini lagi.

“Okey, beginilah..kita seri! Saya pernah tolong awak, awak pernah tolong saya. Selepas ini, buat hal masing-masing. Kalau awak kena tetak ke apa ke, jangan masuk kereta saya lagi. Eh, jangan libatkan saya lagi,” baru teringat mana dia ada kereta lagi. Kan, dah kena tarik!

“Okey, selepas ni kalau kau kena rogol depan aku. Aku tak peduli!” Sunny bengang. Sakit hatinya mendengar kata-kata perempuan itu. Selama ini, dia selalu menjaga perempuan itu dari jauh, begini pula balasan yang diterimanya. Huh!

“Hm, okey..” Bija mencebik. Macam dia hadap sangat nak minta pertolongan lelaki itu. Samseng macam tu, baik dia minta pertolongan dengan polis baru betul!

Bija terus berpusing. Dia sudah terlalu lambat mengambil anaknya dengan pengasuh baru yang rumahnya jauh dua blok dari rumahnya. Terpaksa kerana tiada siapa yang sudi menjaga anaknya. Bija tarik nafas dalam-dalam. Dia perlu kuat!

“Hei..tunggu!” selamba Sunny pegang tangan Bija, menahan perempuan itu daripada pergi.

“Kau tak nak report polis ke pasal samdol tadi tu ganggu kau?” tanya Sunny tiba-tiba. Pertanyaan yang mengundang ketawa di bibir Bija.

“Baik saya report pasal awak yang pecah masuk kereta saya, rumah saya, mengugut, lepas tu serang saya!” Bija mengingatkan Sunny tentang perbuatannya dulu. Perbuatan suami kak Midah kalau nak dibandingkan dengan samseng ini dahulu, lagi teruk samseng ini lagi.  

“Weh, mulut kau boleh tahan , heh! Aku kerat lidah kau karang!” Sunny bertukar jadi bengis supaya perempuan itu takut dengannya.

“Tak habis-habis, saya ni dah lambat nak ambil Mia. Apa pun, terima kasih tolong saya,” Bija tidak peduli dengan amaran lelaki itu. Apa nak jadi, jadilah! Mia dah lama di rumah orang, pasti Mia tertunggu-tunggu mamanya.

“Hei..hei..” Sunny tahan lagi.

“Apa? “ Bija pusing, sudahlah dia lambat ambil Mia. Apa lagi ni?

“Tadi, kau hampir kena rogol. Kau boleh buat tak tahu je?” Sunny tak berpuas hati tiada sebarang tindakan daripada perempuan itu. Hanya membiarkan saja? Esok, lusa samdol itu pasti mengulangi lagi perbuatan tidak elok dengan perempuan itu. Sunny risau!

“Jadi?” Tak faham kenapa samseng ni nak risau sangat? Tak kena dengan lagaknya sebagai samseng terhormat.

“Pasal kau janda? Kau takut orang sekeliling tuduh kau menggatal goda jantan, macam tu?” kata-kata Sunny seakan menuduh Bija seperti janda gatal pula.

“Jangan ingat dah tolong saya tadi, awak boleh suka-suka nak kata saya macam-macam! Jaga sikit mulut tu! Sudahlah!” Bija naik angin terus buka langkah. Baik dia pergi!

“Hei, dengar sini!” Sunny tarik kasar lengan Bija yang laju sangat nak pergi dari situ. Dia pantang kalau dia bercakap, orang tidak mengendahkannya.

“Ouch, sakitlah!”

“Kau nampaknya dah tak takut dengan aku! Kau ni nak kena diingatkan balik!” Sunny cekak kolar leher baju Bija tiba-tiba. Bija pejam mata, dia dapat merasakan mukanya bakal ditumbuk. Seluruh badannya menggeletar ketakutan. Okey, lelaki itu berjaya menakutkannya sekali lagi.

Tetapi, tidak semena-mena Sunny hanya meluku dahi Bija. Tidaklah kuat sangat tetapi tetap meninggalkan kesan merah di dahi Bija.

Bija terpinga-pinga, sewaktu membuka matanya. Ingat tadi kena tumbuk?

“Walaupun aku macam ni, aku ada maruah aku sebagai samseng terhormat!” Sunny tepuk bahu Bija beberapa kali, senyum puas hati tatkala melihat muka pucat perempuan itu sebelum beredar. Tahu takut!

Bija pula pandang lelaki samseng itu sehingga tidak kelihatan lagi. Sungguh, dia bingung dengan karektor lelaki itu!
 
P/S: The beginning of Sunny & Bija..

8 comments:

  1. Best.....lamer gok menunggu sambungan citer ni
    bila nk up lg?
    Tag akak kat fb yer....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak ayu..kene bgilir ngn dr irfan entrynye..orait nt sy tag..

      Delete
  2. best2..xsabar tunggu bab seterusnya...baik betul haji sani bg sumbangan ke bija...hehehe

    ReplyDelete
  3. Hei hei hei....
    Sgt best....
    ai like haji sani..... ^_^

    ReplyDelete