Saturday, 22 March 2014


BAB 3: DIA PEMILIK CINTA AKU

 
PULANG dari bekerja petang Edlin singgah ke tempat Adelia. Keadaan masih sama, hati Edlin sayu. Teman baiknya hanya sendirian tiada siapa menemani, sungguh kasihan. Kemudian, seperti biasa Edlin merapikan Adelia sebaik mungkin. Selepas itu, Edlin keluar mengambil wuduk dan kembali semula bersama surah Yasin. Edlin bacakan surah Yasin semoga teman baiknya mendapat keberkatan zat-zat dari surah itu.

“Harap kau cepat bangun, ya..” kata Edlin perlahan. Kemudian, hela nafas panjang.

Edlin pusing..

“Eh!” terkedu dengan kehadiran doktor anaest di muka pintu. Renungan lelaki itu kelihatan sangat sayu.

“Doktor..” Edlin senyum nipis menegur doktor anaest itu.

Lelaki itu juga senyum nipis.

“Saya keluar dulu..” Edlin minta lalu. Tiada sepatah perkataan keluar dari lelaki itu buatkan Edlin kurang selesa, baik dia balik. Bagi ruang kepada lelaki itu untuk bersama temannya.

“Tunggu saya, lima minit!” pinta Irfan tiba-tiba.

Dua kali Edlin terkedu di situ, tidak percaya dengan apa yang baru didengari. Suruh tunggu ke? Ragu-ragu..

Edlin tunggu di luar, dari cermin kaca Edlin melihat doktor anaest itu memeriksa keadaan teman baiknya. Edlin toleh jam di tangan, sudah hampir ke pukul sebelas malam. Cuak juga kalau balik lewat  malam sangat. Buat Edlin jadi kurang sabar nak menunggu. Resah!

“Jom!” ajak Irfan selepas lima belas minit di dalam, bukan lima minit, okay! Nasib baik bukan pakwe kalau tak, dah lama dia merajuk.

“Ada apa, doktor?” tanya Edlin selepas keluar dari unit ICU. Mereka berada di depan lif.

“Panggil saya Irfan, Saya Irfan Farel..” Irfan kenalkan dirinya. Rasa kurang selesa bila jururawat itu membahasakan dirinya doktor.

“Oo..panggil saya Ed aje,” Edlin tak bagi nama penuh, hanya nickname. Bukan apa malas nak beritahu namanya yang sebenar. Edlin Ebrezza Binti Sidin. Sikit punya glamour nama yang mak bagi, semuanya disebabkan majikan lama mak. Majikan mak orang putih, Madam Joanne. Madam Joanne yang bagi nama tu, masalahnya nama tu hebat sangat tak padan dengan orangnya. Kulit tak berapa nak cerah tapi nama macam anak orang putih. Tapi, dia bangga, anak kampung sepertinya punya nama seperti itu. Kalau mak ikut nama kampung-kampung, mungkin namanya Senah Binti Sidin. Oh, hilang glamour mak, kiah..

“Ed? Eddy atau Edmund?” Irfan mengusik. Nickname similar untuk lelaki. Itu yang buat Irfan mengusik.

“E..D.., ED!” Edlin siap mengeja namanya dengan perasaan sedikit bengang. Pandai jugak doktor ni buat lawak susah nak gelak, ingatkan jenis lemau. Iyelah, selalu jumpa serius, kalau tak serius, monyok!

“E..D.. maksudnya emergency department, awak..” usik Irfan lagi. Tiba-tiba, datang mood mengusik. Dah lama tak macam ni..

“Edlin Ebrezza Binti Sidin!” senafas, geram punya pasal! Main-main pulak dengan namanya. Tak patut!

Wow, beautiful name tapi kenapa panggil Ed?” Irfan jadi banyak cakap pula hari ini. Macam pelik!

“Saja!” sepatah, muka lelaki itu langsung tak dipandang. Bengang kena main!

“Saya gurau ajelah awak,” pujuk Irfan. Tersengih.

“Doktor suruh saya tunggu, kenapa?” tanya Edlin masih bahasakan lelaki itu doktor. Sengaja, sakit hati punya pasal! Lagipun, macam tak kena saja kalau panggil lelaki itu Irfan atau panggil Farel, macam tak kenalah!

“Ed..panggil saya Irfan pun dah cukup. Awak kawan dengan Adelia, secara automatic saya jadi kawan awak,” balas Irfan. Senyuman mekar di bibir, ikhlas. Dia senang dengan gadis itu kerana gadis itu banyak menolong Adelia. Dia cukup terharu melihat gadis itu telah bacakan surah Yasin untuk Adelia. Bukan mudah mencari teman sebegini.

“Macam tak kena tapi tak apalah, kalau itu yang doktor nak,” Edlin tak ikut pun, masih panggil doktor. Lidah macam tak reti nak panggil. Biarlah, bukannya selalu jumpa pun.

Irfan ketawa kecil. Edlin boleh terkedu buat kali ketiga. Terkejut lelaki itu ada saraf ketawa juga rupanya.

“Lucu jugak awak ni, kan..”

“Nak tanya ni, doktor suruh tunggu kenapa?” Edlin tanya balik. Pertanyaannya belum dijawab oleh lelaki itu. Dia tak boleh lama-lama, malam semakin larut. Skuter pula sudah la tak berapa sihat. Karang dibuat semput tengah jalan malam-malam siapa nak tolong.

“Tak, saya nak ucap terima kasih kerana tolong Adelia. Awak sangat baik hati..” ucap Irfan. Sungguh, dia sangat berterima kasih dengan gadis itu kerana menjaga perempuan dicintainya.

“Itu aje? Okeylah doktor saya balik dulu..” Edlin dah tekan butang lif. Ingat apa tadi, rupanya nak berterima kasih saja. Buat apa nak berterima kasih dengannya, dia bukan buat apa pun.

“Mungkin biasa-biasa pada awak, tapi bagi saya sangat bermakna,” ujar Irfan dengan suara agak bersungguh.

“Tak apa, Adel kawan saya juga,” Edlin senyum faham. Bertuah kau Adel, ada lelaki sayangkan kau macam ni. Edlin tumpang jeles sekaki. Dia jugak sorang-sorang tak ada teman lelaki.

“Awak nak balik ke?” pertanyaan daripada Irfan buatkan Edlin rasa nak melotot mata ke atas.

“Habis tu?”

“Saya ingat awak baru nak masuk kerja,” Irfan tayang sengih. Tekaannya silap.

“Rupa saya yang serabai ni, rupa orang nak masuk kerja ke, doktor?” perli Edlin, sebenarnya rasa diri yang kena perli. Maknanya hari-hari dia pergi kerja penampilannya memang tak semengah, tak segak. Baru rasa sedar diri, kalau pergi kerja esok kena telek diri betul-betul dulu sebelum keluar.

Irfan ketawa lagi. Budak seorang ni mungkin calon raja lawak Astro agaknya, pandai sangat buat orang ketawa. Perasaannya yang tidak tentu hala sejak dua menjak ini, agak terhibur dengan gadis itu. Irfan sangat senang dengan gadis itu.

“Jadi, nak baliklah ni?” Irfan tanya lagi.

“Habis tu, nak buat apam balik?” Edlin perli lagi. Sebaik pintu lif terbuka, Edlin terus saja masuk.

“Bye..” Edlin terus tekan groundfloor, malas nak melayan perangai sengal doktor itu lagi. Baik dia balik cepat. Mood dia swing semacam, entah-entah nak datang bulan.

“Eh, tunggu!” belum sempat lif tertutup rapat.

 

LAMBAT balik kak!” tegur Shasha teman serumahnya. Edlin angguk lesu, perut rasa memulas-mulas semacam. Buka pintu, capai tuala terus ke bilik mandi. Selesai membersihkan diri dan memakai pakaian tidur. Edlin lepak seketika di depan tv, tiada siaran tv yang menarik minatnya lantas tv ditutup.

“Kak, tak tidur lagi?” tanya Shasha baru keluar dari bilik.

Terteleng kepala Edlin menoleh ke arah Shasha.

“Belum, kejap lagi nak masuk tidur dah,” jawab Edlin.

“Oo..kawan akak tu dah sedar belum?” tanya Shasha terus merebahkan punggung di sebelah Edlin. Remote tv dicapai lalu membuka tv, tangan sibuk menekan siaran di tv.

“Tak sedar lagi..” Edlin jawab dengan suara lemah.

“Dah dekat sebulan dah, kan?” Shasha masih sibuk bertanya sedangkan Edlin macam malas nak menjawab.

“Hurmm..” Edlin melembikkan badannya ke sofa. Sambil menghela nafas panjang.

“Sabarlah kak, harap kawan akak cepat sedar,” Shasha pegang bahu Edlin bagi semangat.

“Harap begitulah,” Edlin tekan perutnya, sakit masih belum hilang.

“Sha pergi tidur dulu, esok nak kerja pagi,” Shasha tutup tv terus bingkas bangun. Edlin hanya mengangguk. Memang dia betul-betul tiada mood. Segalanya terasa malas.
 
P/S: Hope enjoy this chapter..thx :)

Wednesday, 19 March 2014


CAPTION: My protocol easy..found..conquered..prisoned..


BAB 1: SUNNY: PROTOKOL CINTA


BIJA  keluar dari emergency, sudah hampir menginjak ke pukul sepuluh malam. Cuaca tidak berapa elok pula malam ini, berangin tetapi tidak pula hujan. Kilat memancar-mancar. Kaki dihayun pantas ke kereta Myvi kepunyaannya yang berada di belakang hospital. Sampai di kereta terus saja masuk tanpa was-was. Tidak terfikir keselamatannya mungkin tergugat.

“Jangan jerit!” terasa lehernya dijerut tiba-tiba dengan lengan, pisau berkilat dihunus betul-betul di depan mukanya. Bija sungguh terkejut!

“Kau nak selamat atau mati?!” bisik suara lelaki di cuping telinganya. Terlalu rapat, boleh terasa telinganya panas dek nafas lelaki tidak dikenali itu. Menggeletar terus seluruh badan, pundi kencing pula terasa penuh dengan tiba-tiba, bila-bila masa jika tahap ketakutannya naik mendadak tidak mustahil dia akan terkencing di situ juga.

“Er..er..atau?” Bija terlepas cakap. Kepalanya cuba nak berfikir cepat-cepat dan akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya. Bukan sengaja nak main-main tapi terlepas! Aduh, gawat!

“Main-main kau, ya?! Aku kelar leher kau baru tahu!” pisau tajam dirapatkan ke leher, mengacah!

“Jangan! Jangan! Nanti Mia kat rumah pengasuh macam mana? Kesian Mia kalau saya tak ada, papa Mia dahlah jarang balik rumah, tolonglah kesiankan kami kalau tak banyak, sikit pun jadilah..” Bija merayu laju-laju. Anak perempuannya yang comel ditinggalkan di rumah pengasuh. Kalau jadi apa-apa dengannya, Mia anak perempuannya yang comel nanti bagaimana? Tidak semena-mena air matanya tumpah. Ya, Allah, tolong aku, bukan demi aku tetapi demi anak kecilku yang masih memerlukan aku. Bija berdoa bersungguh-sungguh!

“Weh, cakap tu jangan laju-laju, mana sempat aku nak dengar!” marah lelaki jahat itu tetapi kemudiannya terdengar lelaki itu mengerang. Pisau yang dihunus ditarik hanya lengan masih menjerut lehernya. Bija lega sedikit.

“Kau diam-diam, jangan cuba nak melawan! Kalau melawan kau takkan jumpa Mia kau sampai bila-bila! Nak?!” ugut lelaki itu.

“Tak nak..” lembik suara Bija menjawab. Sudah tentu dia akan memilih untuk berdiam diri. Dia sayangkan Mia, buah jantung pisangnya.

“Ha..pandai pun kau, jawapan paling bijak! Tak payah sekolah pun pandai kalau macam ni,” sempat pulak lelaki jahat itu buat lawak susah nak gelak. Sah-sah dia tidak akan gelak.

Bija diam hanya terdengar pintu kereta dibuka, tidak lama selepas itu pintu di sebelah penumpang pula dibuka. Lelaki jahat yang berada di belakang tadi sudah bertukar tempat duduk. Parah! Bija cuba menjeling, nak tengok betul-betul siapa orangnya tetapi pisau berkilat tadi dah selesa ‘parking’ di tepi lehernya sekarang. Gulp!

“Kau dengar sini, aku tengah cedera sekarang ni tapi kau jangan ingat aku lemah! Kau pernah dengar harimau yang cedera lagi buas dan bahaya? Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tanya lelaki jahat itu, mungkin ingat dia pekak agaknya tak dapat mendengar apa yang dikatakan. Baiklah, pendengarannya tersangatlah jelas, diyakini! Baru lepas korek pagi tadi lagipun dia bukan golongan OKU pekak perdengaran. Sekian!

“Dengar, dengar, dengar..” Bija dengan kepala diangguk-anggukkan, mengiyakan kata-kata lelaki jahat itu.

“Kalau kau nak Mia kau selamat, kau selamat, tolong aku!” selepas mengugut sedap-sedap lelaki jahat itu meminta pertolongan pula. Kepalanya yang sedari tadi hanya ke depan terus menoleh. Refleks terkejut! Sudah tentu terkejut gila, melihat lelaki jahat  itu berdarah di merata-rata badannya dengan pakaian koyak rabak seperti dilibas-libas dengan parang. Bija mengagak dari luka yang dilihatnya. Pengalaman sebagai jururawat, dia pernah melihat scenario sebegini, selalunya pasal kes amuk atau kongsi gelap. Bergaduh sampai berparang-parang, biasalah tu! Pfftt..

“To..tolong macam mana?” tanya Bija. Dia bukan doktor, hanya seorang jururawat. Diulangi, dia seorang jururawat!

“Kau kerja wad mana?” tanya lelaki jahat itu. Eh, sempat pula bertanya wad mana? Bija pandang pelik lelaki itu. Ini bukan sesi berkenalan, okay! Ini menjurus kepada sesi penculikan, apa kaedahnya bertanya dia bekerja di wad mana?

“Emergency..” jawablah orang dah tanya, kan..

Perfect! Pergi tempat kerja kau cari suture 3/0, 4/0, 5/0, adrenalin, gauze, gamgee, plaster cari yang transparent, bandage, alcohol, iodine. Apa lagi..oo..painkiller tak kisah mana-mana kalau dapat yang kuat lagi bagus!” senafas lelaki itu minta barang-barang perubatan. Tak kekok langsung sebut satu-satu barang. Macam familiar sangat dengan semua barang itu. Bija pelik lagi hairan.

Bija masih terpaku walaupun sudah mendapat arahan dari ‘tuan doktor’.

“Tunggu apa lagi! Kau nak aku cari Mia kau sekarang ke?” ugut lelaki jahat itu suka-suka hati.

“Eh, okey, okey, saya pergi sekarang. Tolong jangan buat apa-apa dengan Mia saya!” Bija baru sedar diri bila diugut lagi dengan Mia, buat apa lagi terpaku, cari semua barang cepat-cepat! Bija kalut buka pintu. Baru nak turun dia teringatkan sesuatu.

“Tapi..”

“Tapi apa?” keras lelaki jahat itu bertanya. Lebih kepada suara menahan kesakitan.

“Maaf, kalau tak ada suture yang nak tu macam mana? 3/0 dengan 4/0 banyaklah kat emergency tapi 5/0 selalu ada kat OT aje,” baru teringat 5/0 hanya sesuai untuk kulit muka kerana saiznya halus. Emergency hanya ada 3/0 dan 4/0 sesuai untuk kulit anggota badan. Memilih betul orang jahat ni! Tahu pula tak nak muka tu berparut!

“Aku tak kira, 5/0. Kau cari sampai dapat!” lelaki jahat itu bertegas dengan apa yang diinginkan.

Bija malas nak banyak bunyi terus keluar. Tutup pintu..

Demand kuat!!” Bija sempat mencemuh.

Bija berjalan cepat ke emergency, sampai saja terus tangannya mencapai barangan yang dipinta di bilik rawatan dan di bilik suntikan. Semuanya dimasukkan ke dalam beg galas. Sebaik saja keluar, boleh pula dia bertembung dengan teman sekerja.

“Eh, bukan kau dah balik ke tadi?” tanya Rani. Terkejut melihat Bija masih berada di situ.

“Tertinggal barang!” Bija bagi alasan tetapi muka kalut semacam. Dahi berpeluh-peluh padahal emergency sepenuhnya berpenghawa dingin.

“Oo..kau tak sihat ke? Berpeluh saja ni?” tanya Rani lagi, pelik melihat telatah teman sekerja pelik semacam.

“Haah..macam nak demam, aku balik dululah Rani,” cepat-cepat Bija minta diri. Dia tidak boleh berlama-lama, buat kepala tak betul orang jahat itu pergi cari Mia bagaimana? Bija ketakutan.

Bija kalut panjat tangga ke tingkat empat untuk ke dewan pembedahan mengambil suture yang diminta, sempat berselisih bahu dengan seorang jururawat. Beg galas terjatuh ke bawah, Bija kalut tunduk mengambil begnya yang jatuh. Tanpa mohon maaf terus panjat tangga ke tingkat atas, langsung tak pandang jururawat yang baru dilanggarnya tadi. Kalut punya pasal!

“Apa malang asyik kena langgar saja ni!” omel jururawat bernama Edlin itu sebelum meneruskan langkahnya turun ke tingkat bawah.

Setelah, segala barangan yang dipinta diidapati Bija tergesa-gesa pergi ke kereta Myvinya semula. Lega kerana keretanya masih di situ. Bija ketuk tingkap kaca supaya kunci pintu dibuka dari dalam.

“Lambat betul! Sikit lagi aku nak jadi orang kurang sabar, kalau aku kurang sabar dah lama aku pergi cari Mia kau tadi!” bebel si jahat dengan muka mengantuk. Ceh, sempat buat tahi mata!

“Dah, saya dah bawa semua barang..” kata Bija perlahan. Jantung berdetak laju macam orang sakit jantung. Dalam hati tidak putus-putus beristighfar dan menyebut kebesaran Allah. Berharap dia dan anak kecilnya sentiasa dilindungi Allah.

“Bagus, jom, kita pergi jemput Mia! Aku nak jumpa Mia, mesti comel macam kau, kan!” pipi Bija dicubit kuat.

“Aduh, sakitlah!” Bija mengaduh sakit sambil menjeling garang. Mulut kumat-kamit menyumpah dalam hati.

“Dah, jom, jom, pergi ambil Mia. Mesti Mia dah lama tunggu,” gesa lelaki jahat itu siap tepuk stereng dipegang oleh Bija. Terkejut Bija dibuatnya.

“Er..nak tanya sikit boleh?” Bija beranikan diri bertanya. Dia perlu tahu sesuatu.

“Hm..tanya apa? Mood aku tengah baik ni, baik kau tanya benda elok-elok!” lelaki jahat itu benarkan Bija bertanya tetapi sempat lagi nak mengugut. Tangan yang memegang pisau ‘parking’ di belakang kepala Bija pula.

“Kalau saya tolong awak, awak boleh tak jangan apa-apakan saya, Mia saya..” pinta Bija dalam takut-takut. Dia terlalu risaukan Mia.

“Baik kau jalan sekarang!” arah lelaki jahat itu terus mengacu pisau ke leher selepas mendengar kata-kata Bija.

“Awak..tolong jangan apa-apakan kami, lebih-lebih lagi jangan apa-apakan Mia,” Bija masih belum menggerakkan keretanya. Cuba berunding.

“Jalan cepat! Aku ni banyak bleeding, karang aku kelar leher kau kat sini, nak?!” ugut lelaki jahat itu dengan garang tetapi kedengaran suara mengerang dihujungnya.

“Selagi awak tak janji tak apa-apakan kami, saya takkan pergi ke mana-mana!”

“Kau tak takut?” pisau diacah lagi.

“Saya takut tapi saya rela mati demi Mia saya!” Bija bertegas!

“Baik kau jalan, bukan dengan kau saja aku bunuh, dengan Mia kau sekali aku cari dan bunuh. Aku tak fikir nak bunuh orang sekarang ni tapi jangan kau buat aku rasa nak bunuh orang!” lelaki itu mengugut dengan suara semakin terdesak!

“Okey, okey, saya gerak sekarang, nanti kat depan ada security guard, tolong duduk betul-betul, pisau tu tolong jauhkan sikit, ya!” dalam keterpaksaan Bija memulakan pemanduan. Tangan basah dengan peluh memegang stereng. Ketakutan yang teramat!

Sebaik saja hampir melalui pemeriksaan security guard, lelaki jahat itu melindungi badannya dengan beg galas, sweater dan topi. Sebijik macam orang tengah tidur dengan topi ditutup sepenuhnya pada muka.

“Pandai betul!” omel Bija dengan kelicikan lelaki jahat itu melindungi dirinya.

“Aku dengar!” sempat pula dengar  orang mengomel. Huh!



PINTU gril dibuka, terpaksa memapah lelaki jahat itu masuk ke dalam rumahnya. Terpaksa!

Selepas dudukkan lelaki jahat itu di atas sofa, Bija keluar mengambil Mia di rumah pengasuh yang berada di tingkat bawah. Terpaksa tebalkan muka dengan pengasuh sewaktu mengambil Mia kerana dia sudah terlalu lewat mengambil Mia. Seperti yang dijangka Kak Midah dengan muka cemberut menarik keluar Mia yang sedang terpisat-pisat. Kasihan anak mama, mungkin ditarik begitu saja dari tidur. Sedih tetapi apalah daya dia sebagai mama yang bekerja.

“Dah lewat dua hari ni, bila nak bayar duit mengasuh ni?” Kak Midah bertanya kasar.

“Esok saya bagi kak, belum sempat pergi tekan duit lagi,” beritahu Bija. Perit bila kenangkan baki gaji di dalam akaun bank. Baru dua hari gaji keluar tetapi gaji sudah tinggal sedikit.

“Hm..” Kak Midah sengaja tutup pintu dengan kasar. Hati Bija cukup terasa.

Perlahan diangkatnya Mia dalam dukungan, jiwanya berlagu sendu. Meratapi nasib diri yang semakin hari semakin sukar. Teringat orang jahat di rumahnya buat hatinya bertambah walang. Kepalanya sibuk membelek naskhah akhbar yang pernah dibaca sebelum ini tentang pembunuhan ngeri. Doa tidak putus-putus di dalam hati, berharap selepas malam ini segalanya akan bertambah baik. Yang penting dia dan Mia tidak diapa-apakan.

Bija masuk ke dalam rumah, dilihatnya lelaki itu sedang menyelongkar beg galas tadi. Tanpa bersuara Bija meletakkan Mia di atas katil. Mia sambung tidurnya kembali.

“Kau datang sini, tolong aku cuci luka ni!” panggil lelaki jahat itu tatkala melihat Bija keluar dari biliknya. Bija takut-takut nak datang dekat.

“Sinilah!” herdik lelaki itu dengan kasar.

Bila diherdik barulah Bija menghampiri. Lelaki itu selamba membuka bajunya. Mata Bija terpaku melihat tatu matahari pada badan lelaki itu. Sah, kaki samseng kongsi gelap! Jelik betul sewaktu Bija melihatnya.

“Apa tengok lagi!” herdik lelaki itu lagi. Bija pakai glove, dia perlu mengambil langkah berhati-hati dengan orang macam ni. Dengan berhati-hati, Bija mengeluarkan disposable dressing, dia menuang lotion untuk mencuci luka.

“Kau pandai jahit luka?” tanya lelaki itu lagi.

“Pandai!” jawab Bija, memang selalu sangat kalau di emergency tu. Kalau nak jahit mulut orang pun lagi dia boleh. Menggumam!

Good..hm..kau jahit luka kat peha aku ni dulu,” lelaki jahat itu menghalakan matanya ke arah pehanya yang masih memakai seluar tetapi sudah koyak-rabak dengan kesan libasan parang.

Bija pandang peha lelaki itu yang berbalut ikatan kain. Bija tahu mengapa diikat begitu kerana lelaki itu cuba menghentikan pendarahan. Mata Bija sepet tiba-tiba sedang berfikir bagaimana nak menguruskan luka yang merata-rata di badan lelaki itu.

“Okey!” Bija mula bertindak, segala kemahiran yang ada Bija merawat lelaki itu. Bermula dengan peha lelaki itu, tanpa bertanya atau meminta izin selamba saja Bija mengoyakkan seluar yang dipakai. Lantak!

Luka dicuci lalu mula melakukan suturing. Bija melakukannya dengan tekun. Selepas itu, Bija memecahkan ampul adrenalin lalu dibasahkan dengan gauze lalu ditekapkan pada luka yang sudah dijahit kemas. Fungsi adrenalin dapat menghentikan perdarahan. Lelaki itu hanya memerhati hasil kerja perempuan di depannya yang ternyata kemas. Lelaki itu berpuas hati!

“Bagus jugak jahitan kau, ya!” puji lelaki jahat itu. Bija toleh seketika, matanya dapat melihat lelaki jahat itu sedang menahan kesakitan.

“Hm..bolehlah..” kata Bija dengan perasaan lega kerana dengan tangan menggigil dia boleh menjahit dengan baik. Karang kalau tersalah jahit bimbang juga menaikkan kemarahan lelaki jahat itu. Bija sangat takut tetapi apa yang paling dia takuti jika lelaki jahat itu mengapa-apakan Mia. Bija cuba tidak membuatkan lelaki jahat itu berang.

Lelaki jahat itu hanya mendiamkan diri sambil memejamkan matanya. Bija sempat menilik wajah lelaki jahat itu sewaktu dia mula merawat luka yang lain pula. Wajah lelaki jahat itu comot dengan darah mengalir yang sudah kering. Dengan janggut dan misai yang serabai memang sesuai sangat dengan watak penjahat. Bija geleng kepala.

Tiba giliran luka di belakang, tempat tatu matahari. Luka itu mencacatkan sedikit lukisan tatu matahari itu. Bija bersihkan luka dan darah yang sudah kering melekat pada kulit. Selepas itu dengan berhati-hati dia melakukan suturing. Terdengar lelaki itu mengerang. Bija tiba-tiba berdecit turut merasakan  kesakitan yang lelaki itu tanggung.

Sekarang giliran luka pada muka, pipi sebelah kanan.

“Saya nak cuci luka kat pipi,” kata Bija, karang terkejut pulak kalau terus cuci. Lelaki jahat itu mungkin tertidur. Diam saja dari tadi.

Lelaki jahat itu buka matanya, terus pandang tepat ke mata Bija. Jarak mereka terlalu dekat.

“Kau cuci aje nanti aku jahit sendiri,” arah lelaki jahat itu.

“Hah?” Bija terkejut, lelaki itu nak buat sendiri? Pandai ke?

“Tak payah buat muka terkejut sangatlah! Pergi ambil cermin!” arah lelaki itu lagi tatkala melihat riak wajah Bija macam tak percaya.

Bija bangun lalu masuk ke dalam bilik mencari cermin yang di minta. Selepas itu datang kembali dengan cermin di tangan.

“Kau pegang cermin ni betul-betul,” arah lelaki itu lagi. Bija pegang cermin sambil memerhati lelaki jahat itu tidak kekok langsung menggunakan needle holder dan mula melakukan suturing. Melihat kecekapan lelaki jahat itu menjahit luka di pipinya sendiri menimbulkan perasaan kagum di hati Bija. Siapakah lelaki ini sebenarnya? Ahli kongsi gelap dengan kecekapan setanding seorang doktor? Sangat pelik!

Urusan jahit menjahit luka selesai juga akhirnya. Bija mengemaskan segala barangan dan tempat yang bersepah dengan gauze yang dikotori darah. Barangan untuk menjahit yang dicilok dari emergency wajib dipulangkan cepat. Karang ramai pula yang tertanya-tanya. Dia sudah menjadi pencuri disebabkan lelaki itu. Bija mengeluh tanpa sedar.

“Aku nak mandi!” kata lelaki itu terus bingkas bangun.

“Ah, okey!” tanpa banyak soal, Bija ke dalam biliknya mencari tuala. Tidak lama kemudian keluar dengan sehelai tuala.

“Bilik air ada di dapur,” Bija tunjuk arah ke dapur.

Lelaki jahat itu capai tuala terus ke dapur. Bija lihat lelaki itu kelihatan mula cergas selepas lukanya dirawat. Kalau orang biasa-biasa mungkin lesu tidak bermaya tetapi lelaki itu kelihatan gagah pula. Bertambah-tambah pelik Bija rasa.

Lelaki jahat itu keluar tidak lama kemudian dengan hanya bertuala. Nasib baik pakai plaster transparent kalis air tak adalah basah tempat luka yang baru dijahit. Mata Bija menyinggah lama di badan lelaki itu, menilik. Badan sasa yang kekar dengan tatu matahari, mungkin bagi sesetengah orang nampak macho tetapi baginya nampak jelik. Terlintas di fikiran bangsa apakah lelaki itu? Kalau bertatu kemungkinan bukan muslim.

“Kenapa? Aku nampak seksi ke?” lelaki jahat itu bertanya sambil merenung tajam ke mata Bija. Perasan perempuan itu leka benar menilik badannya.

Bija yang leka menilik, hampir tersedak mendengar kata-kata lelaki jahat itu terus mata dialih ke arah lain. Huh, perasan!

“Kau terpikat ke?” lelaki jahat itu pandai pula menggiat Bija. Tersengih tetapi nampak buruk benar di mata Bija. Eeuuwww..

“Tahu tak dalam dunia ni ada satu penyakit yang memang tak akan ada ubat, penyakit perasan bagus!” terkeluar dari mulut Bija tanpa sedar. Selamba!

Sesaat, Bija terus tepuk mulutnya banyak kali, boleh pula celupar tiba-tiba. Ops! Ops!

“Kau tak sayang mulut ke? Suture tadi ada lagi, kan? Biar aku jahit mulut kau kejap lagi!” lelaki itu berang.

“Sorry, sorry, tak sengaja, tak sengaja, okey, saya diam, saya tak cakap apa-apa dah,” Bija terus tekup mulutnya. Dua biji mata bundarnya saja yang terkelip-kelip.

“Jangan buat muka pussy cat doll sangatlah!” dahi Bija ditunjal kuat. “Aku nak pakai baju!” kata lelaki jahat itu, remote control tv diambil. Tv dibuka.

Bija ke bilik lagi, dua tiga kali duk ulang alik ke bilik. Kali ini mencari pakaian untuk lelaki jahat itu pula. Bija mencari pakaian suaminya yang mungkin sesuai untuk lelaki itu. Bila teringatkan suaminya, Bija mengeluh. Suaminya sudah lama tidak pulang ke rumah. Makan pakai dan kehidupannya dengan Mia suaminya langsung tidak peduli. Rumah tangga dibina selama lima tahun menanti rebah sahaja. Semuanya kerana orang ketiga, suaminya tergila-gila perempuan lain. Dengar khabar sudah berkahwin lain, dia ditinggalkan terkontang-kanting. Nasib baik ada Mia pengubat luka di hati, kerana si comel itu dia masih bertahan sehingga kini. Kini, dugaan lain pula yang mendatang. Keselamatan mereka berdua terancam dengan kehadiran lelaki tidak dikenali itu.

Bija keluar bersama pakaian. Lelaki jahat itu mengambil lalu dengan selamba memakai pakaian diberi di depan Bija. Bija pula yang kena pusingkan badannya ke belakang. Aduh!



BERITA tengah malam di tv3 bersiaran, lelaki jahat itu terlalu kusyuk melihat berita di tv. Bija ke dapur selepas mendapat arahan menyediakan makanan pula. Huh, tak habis-habis mengarah itu dan ini. Naik menyampah pula!

Tengah-tengah malam menggoreng nasi, nasib baik ada sosej dengan telur. Jadilah, dari tak ada apa langsung, kan. Bija bawa nasi goreng ke depan bersama milo panas satu muk.  Berasap-asap!

Sewaktu meletakkan makanan mata Bija juga pandang berita di tv. Berita tentang pergaduhan  kongsi gelap, Bija lihat berlimpangan beberapa orang lelaki dalam keadaan cedera parah mungkin juga ada yang mati. Drastik matanya terus pandang wajah lelaki itu kelihatan tiada riak langsung. Bija syak lelaki itu juga terlibat sama. Jantungnya dipalu lagi, berdenyut laju selajunya. Tubuhnya menggeletar ketakutan, lutut terasa lemah untuk berdiri. Wajah pucat lesi!

“Selagi kau ikut segala apa yang aku kata, nasib kau tak akan jadi seperti mereka,” lelaki itu tiba-tiba bersuara tanpa mengalihkan pandangan matanya dari tv. Hanya Bija tercengang memandang lelaki itu.

“Kau dengar?” bersuara keras!

“De..dengar..” Bija semakin kecut perut!

“Aku nak tidur!” selamba terus pejam selepas tv dipadamkan. Tiada lagi arahan. Bija masih berdiri di situ, dilihatnya lelaki itu seperti tidak tidur saja. Statik, berpeluk tubuh dengan mata dipejamkan saja. Bahasa tubuh lelaki itu seakan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin inilah kehidupan kongsi gelap perlu sentiasa berjaga-jaga.

Perlahan Bija ke biliknya, pintu dikunci rapat-rapat. Bija kalut berfikir bagaimana nak mempertahankan diri daripada lelaki itu. Bija terlalu takut jika lelaki jahat itu masuk ke dalam bilik mereka berdua. Bija tidak percaya langsung dengan lelaki jahat itu. Perasaan takut dan curiga kuat menguasai diri. Bija tilik handphone, berbelah bagi untuk menelefon pihak berkuasa, jika dia meneruskan niatnya selamatkah mereka berdua? Jika dia hanya berdiam diri, selamatkah mereka berdua? Bija mundar-mandir gelisah!

Tiba-tiba pintu ditendang kuat dari luar. Bija terkejut besar! Tergamam melihat lelaki jahat itu masuk ke dalam biliknya dengan muka bengis. Handphone di tangannya dirampas kasar.

“Aku dah agak! Kau keluar sekarang!” pisau dihunus mengarahkan Bija keluar dari bilik.

Menggeletar seluruh badan, Bija terus melangkah laju keluar bilik. Terlalu kalut sehingga membuatkan Bija terjatuh-jatuh. Sungguh, lututnya lembik. Bija terpaksa merangkak sehingga ke sofa, dia tidak mampu berdiri lagi. Air mata merembes laju, kepalanya sudah terfikir kemungkinan buruk yang bakal berlaku dengannya. Jika begini pengakhiran hidupnya, Bija berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati supaya Allah selamatkan Mia.

“Kau memang nak mati!” lelaki jahat itu menghampiri, leher baju Bija dicekak kasar. Bola mata lelaki jahat itu yang kelihatan merah menyala sangat menakutkan. Bija pejam mata. Sungguh, dia terlalu takut!

“To..tolong jangan apa-apakan saya, Mia masih perlukan saya..” rayu Bija sudah teresak-esak.

“Dengan anak kau sekali aku hantar ke syurga!” leher baju Bija sekali lagi dicekak kuat sehingga badan Bija terangkat. Hanya hujung ibu jari kaki cecah ke lantai.

“Jangan! Mia tak salah, Mia tak berdosa, dia masih kecil!” Bija merayu mendayu-dayu, wajah lencun dengan air mata. Di dalam hati sangat berharap suaminya akan pulang di saat genting begini menyelamatkan mereka berdua.

“Kau ni..!!” lelaki jahat itu seperti muak mendengar rayuan Bija. Dengan wajah paling berang lelaki jahat itu menghayunkan tangannya ke leher Bija. Hayunan yang pantas!

Sekeliling menjadi gelap gelita..

BAB 2: DIA PEMILIK CINTA AKU

 
EDLIN berjalan-jalan di Alamanda bersendirian. Sudah biasa, dia bukan ramai kawan sangat. Kawan baiknya, Adelia terlantar di ICU entah bila akan bangun. Selalunya dia akan keluar dengan Adelia window shopping atau menonton wayang. Tengok keadaan, tetapi segalanya telah berubah. Edlin masuk ke dalam kedai buku MPH, saja-saja cuci mata tengok novel baru di pasaran. Sambil membelek novel, Edlin terpikat dengan satu novel dengan synopsis menarik. Selamba bawa novel tersebut ke rak buku paling rare orang nak masuk. Apalagi, rak-rak buku ilmiahlah maksudnya, jarang-jarang orang mencari kalau tiada keperluan, kan..

Edlin cari parking yang sesuai, paling sesuai tempat paling terlindung. Edlin selamba melabuhkan punggungnya di atas lantai tanpa apa-apa alas, dengan selamba juga dia membuka plastic novel yang dibawanya, konfiden tiada siapa yang melihat. Memang tak patut! Edlin buka mukasurat novel dan mula membaca. Kaedah dia sangat senang, baca depan, baca tengah dan kemudian baca belakang. Selesai!

Edlin baca permulaan cerita dengan kusyuk. Selamba dari helaian ke helaian yang lain, tidak sedar di belakang rak ada orang sedang membelek buku-buku.

“Bedebuk!” dua, tiga buah buku terjatuh, yang malangnya terus hempap kepala Edlin berkali-kali, satu persatu.

“Adoi!” Edlin mengaduh sakit. Nasib baik bukunya tidaklah besar sangat. Kalaulah yang besar-besar dan berat, harus masuk wad kerana head injury. Siapa punya kerja ni? Edlin bingkas bangun!

Bangun-bangun, toleh ke belakang dengan riak wajah paling garang. Bersiap sedia nak menyembur api kemarahan. Tetapi, matanya boleh pula terkelip-kelip, terperanjat!

“Awak tak apa-apa? Sorry, tak tahu ada orang kat bawah, tak sengaja..” seorang lelaki meminta maaf dengan wajah bersalah. Edlin hanya terkelip-kelip, kelu.

“Eh, kejap!” lelaki itu tidak sedap hati kerana tidak mendapat respon daripada si gadis. Terus pergi mendapatkan si gadis di rak sebelah. Cereberal concussion, kah? Si lelaki mula tidak sedap hati, buku yang terjatuh boleh tahan tebal juga maklumlah buku medik.

“Awak okey tak ni?” tanya Irfan sambil menjenguk muka si gadis yang pucat lesi. Kaku tak bergerak sedari tadi.

“Er..saya okey..” Edlin seperti baru tersedar. Betul tidak sangka, boleh terjumpa lelaki itu lagi. Seminggu ini, selalu sangat bertembung, apakah maksud di sebaliknya? Edlin pandang lelaki itu dengan wajah paling blur.

“Awak tak okey ni..” Irfan mengagak si gadis jenis lemah sangat, senang terkejut. Pasal tu jadi macam ni. Irfan rasa bersalah pula.

“Jom, ikut saya! Kita pergi food court cari minuman panas, bagi awak selesa sikit. Awak nampak macam terkejut,” ajak Irfan.

“Hah?” Edlin bertambah terkejut mendengar ajakan lelaki itu.

“Jom,” Irfan senyum sambil mendepa tangannya, mempersila si gadis berlalu dahulu.

Di medan makan..

“Terima kasih belanja minum milo panas ni..” Edlin senyum sambil hirup milo panas dengan berhati-hati. Edlin sudah mula bertenang.

“It’s okay, saya selalu nampak awak. Kerja kat mana, ya?” tanya Irfan. Baru teringat, dia selalu bertembung dengan gadis itu di hospital.

“Saya kerja di wad lapan mawar,” beritahu Edlin.

Terdengar saja wad lapan mawar, Irfan terjeda. Itu wad Adelia bertugas, pasti gadis itu mengenali Adelia.

“Ooo..” panjang nada Irfan.

“Saya pun selalu nampak doktor di ICU,” ujar Edlin, selepas itu senyum penuh makna dengan lelaki di hadapannya.

Irfan buat muka tak faham, tersengih Edlin dibuatnya.

“Saya dengan Adelia, bestfriend. Saya selalu nampak doktor pergi melawat Adel,” Edlin beritahu perkara sebenar.

Irfan buat muka terkejut pula.

“Saya tahulah sikit-sikit pasal Adel, tapi tak keseluruhan ceritalah, kasihan Adel. Saya pun, kalau ikutkan hati nak tumbuk-tumbuk muka suami Adel tu tapi..” Edlin jungkit bahunya sambil mencicip milo yang masih terasa panas.

“Okey, saya faham,” kata Irfan dengan wajah agak suram. Mungkin teringatkan Adelia yang masih belum sedar.

“Saya balik dululah!” Edlin tak sedap hati kerana buat lelaki di hadapannya menjadi murung dengan tiba-tiba. Kepala pun terasa sakit sikit, tangannya tanpa sedar bergerak ke kepala lalu digosok perlahan-lahan. Terasa membonjol sedikit.

“Kepala awak tu..” Irfan nampak gadis itu menggosok kepalanya. Mungkin terasa sakit, Irfan rasa bersalah lagi.

“Oh, sikit aje, tak ada apa-apalah,” Edlin senyum buat muka ceria. Tahan sajalah kepala yang terasa sakit. Kasihan pula melihat wajah monyok lelaki itu bila buka cerita pasal Adelia.

“Betul ke?” Irfan ragu-ragu.

“Jangan risau, saya okey aje ni..” Edlin terus bangun. Bersedia ingin beredar.

“Maafkan saya,” mohon Irfan sekali lagi.

“Eh, sikit aje..” Edlin sengih. Sikit? Huhuhu..karang tuam dengan air panaslah jawabnya.

Edlin minta diri, tinggalkan lelaki itu di situ. Tetapi, seperti dia membawa satu perkara baru di dalam hidupnya.

 

PAGI-PAGI lagi, skuter pink ‘kesayangan’ buat hal, tepi jalan pula tu. Cuba cari port sesuai sikit kalau nak merajuk pun, Edlin susah hati bila jam menunjukkan hampir ke pukul tujuh. Ah, sah-sah lewat masuk kerja. Edlin berdecit!

“Haru, haru..kalau nak buat perangai pun biarlah sampai hospital dulu, senang aku masukkan kau terus ke emergency. Parah betul sakit kau sekarang, ya? sikit-sikit batuk, sikit-sikit demam, karang aku pulak yang demam bawak kau pergi jumpa ‘doktor’,” Edlin mengeluh, dah tahu sangat kalau bawa jumpa pomen mahu seratus, dua ratus melayang. Hai..

Start skuter pink berkali-kali tak mahu hidup, nak tak nak terpaksa sorong skuter kesayangan ke hospital. Kalau diikutkan tidaklah berapa jauh sangat tapi bila dah kena sorong, makan masa juga. Berkeringat satu badan itu sudah pasti, bukan lagi janji..

Helmet di kepala dah tak rela nak dipakai dah, berpeluh. Edlin pandang sayu setiap kali ada motosikal lalu atau kenderaan lain yang lalu. Tiada satu pun berhati mulia nak menolong, bukan harapkan sangat sekurang-kurangnya bertanya pun dia sudah senang hati ada juga manusia mengambil berat akan kesusahan  orang lain. Ini, hampeh!

Edlin dengar bunyi motosikal berderum garang dari belakang, macam bunyi motosikal berkuasa tinggi. Tapi, dia sudah malas nak ambil peduli, yang penting dia nak cepat sampai ke hospital. Deruman motosikal berkuasa tinggi berlalu melepasi, dia tak ambil pusing. Tapi, bila deruman motosikal berkuasa tinggi kedengaran semakin dekat dengan telinganya, dia terpaksa ambil pusing. Pelik, kerana motosikal itu berpatah balik. Edlin mendongak.

Terkejut!

“Skuter kenapa?” tanya Irfan dengan senyuman pagi yang menceriakan, bak mentari pagi menyinarkan cahayanya ke seluruh alam. Edlin yang monyok kena sorong skuter seperti baru mendapat tenaga solar dari alam semesta. Tiba-tiba jadi bersemangat!

“Rosak..” kata Edlin perlahan, masih terkejut.

“Oh..meh, saya tolong awak sorong skuter ni sampai ke hospital,” Irfan hulurkan pertolongan.

Edlin angguk, orang dah nak tolong takkan dia nak jual mahal. Lagi-lagi daripada lelaki handsome macam ni, harus tak tolak!

Edlin naik skuter, bersedia nak disorong dengan motosikal besar lelaki itu. Sebelah kaki Irfan diletakkan di tepi skuter Edlin. Irfan bertindak menyorong skuter gadis itu sehingga ke hospital.

“Okey, letak kat sini,” Irfan tolong tolak skuter gadis itu masuk parking. Kemudian, baru menolak motosikalnya pula. Bersebelahan, dah rupa macam bersanding. Edlin tersengih tanpa sedar. Kepalanya boleh over berangan, macam mereka pula bersanding. Mak aii, jauh perginya..sedarkan diri cepat!

“Terima kasih, doktor..” ucap Edlin, terlalu segan dengan kebaikan lelaki itu.

“Oh, pertolongan kecik aje ni..tak ada hallah!” Irfan senyum, seraya membuka glove. Kemudian, membuka helmet pula. Tangannya rancak membetul-betulkan rambutnya yang serabai. Edlin terkelip-kelip melihatnya. Handsome, dowh..

“Oo..” Edlin masih berdiri di situ, tidak buru-buru ke wad. Padahal, dia sudah terlalu lewat ke wad.

“Awak dah bagi tahu wad belum? Awak lambat ni,” tanya Irfan kerana gadis itu masih relaks, tidak buru-buru ke wad walaupun jam sudah melepasi pukul tujuh.

“Eh, saya dah lambat,” barulah Edlin kalut, nak tergesa-gesa ke wad.

Irfan tergelak. Gadis itu kelihatan comel pula bila kalut macam ni.

“Kejap, skuter awak ni macam mana?”

“Er..hm..nanti saya cari pomen,” dari wajah kalut bertukar sugul. Kepalanya dah terbayang duit yang bakal keluar.

“Awak balik pukul berapa?” tanya Irfan.

“Pukul dua lebih, tengok keadaan,” jawab Edlin separuh hati. Kepala tengah sibuk berfikir macam mana nak cari pomen.

“Pukul tiga, saya habis kerja. Awak boleh tunggu saya, nanti saya tengok skuter awak ni,” ujar Irfan. Dia tak sampai hati tengok wajah gadis itu sugul. Mungkin gadis itu bermasalah nak mencari tukang repair skuter. Rasanya tak salah menolong gadis itu, lagipun dia adalah ilmu sikit-sikit tentang baiki motosikal ni.

“Betul ke? Betul ni?” Edlin macam tak percaya lelaki itu masih ingin menolongnya. Besar sungguh budi baik lelaki itu jika ingin menolongnya yang tengah kesusahan sangat ni. Edlin sengih sampai ke telinga.

“Iye..” Irfan tergelak. Gelihati dengan reaksi lucu gadis itu.

“Terima kasih banyak-banyak!” ucap Edlin sungguh-sungguh.

“Tak apa, hari tu saya tak sengaja hempap kepala awak dengan buku. Anggap saja, permohonan maaf daripada saya,” ujar Irfan, masih rasa bersalah dengan kejadian beberapa hari yang lepas.

“Ala..doktor bukan sengaja pun, kan..” kata Edlin cuba mengurangkan rasa bersalah di hati lelaki itu. Kepala digosok tiba-tiba, benjol pun dah hilang.

“Okey, pergilah masuk wad. Nanti kita jumpa pukul tiga,” Irfan mengingatkan Edlin.

Tersengih-sengih Edlin sebelum berlalu, hati dah melayang-layang macam layang-layang. Terasa hatinya semacam, dua macam saja ni..

 

HATI Edlin dah tak sabar menunggu ke detik jam tiga. Nasib baik, wad tidaklah sesibuk mana. Selepas memberi laporan, jam dua setengah dia sudah boleh balik. Lagi setengah jam menunggu seperti setengah abad menunggu, lamanya! Nak menunggu di bawah macam panas sangat di luar. Sudahnya, Edlin solat zohor dahulu di surau. Usai solat, ngam-ngam pukul tiga. Edlin siap cepat-cepat, tidak sabar nak berjumpa pengeran kacak dengan Ducati Monsternya.

Sampai di tempat parking motosikal, lelaki itu sudah menunggu.

“Sorry, doktor pula yang kena tunggu,” Edlin mohon maaf.

“Eh, saya baru aje sampai,” Irfan senyum menyedapkan hati gadis itu.

“Oo..okey..” Edlin balas senyum lelaki itu.

“Meh, saya tengok skuter awak ni,” tanpa berlengah Irfan cuba melihat skuter gadis itu mana silapnya.

Edlin bertenggek di tepi, melihat skuternya dioperasi oleh doktor anaest. Macam tak boleh blah, kan! Harap skuternya tak paralyse sudah! Itulah satu-satunya kenderaan yang dia ada dan satu-satunya harta yang dia ada. Buruk-buruk pun, sudah banyak skuter itu berjasa dengannya.

“Dah berapa lama awak tak service skuter awak ni?” tanya Irfan. Wajah lelaki itu sudah kemerahan disimbah peluh.

“Er..” bila? Macam dah lama tak service, Edlin tayang sengih..

“Patutlah..” Irfan geleng kepala.

“Jadi?” tanya Edlin. Nak tahu juga diagnosis skuternya.

“Kejap, saya cuba hidupkan,” Irfan tekan starter. Tidak lama kemudian, skuter dapat dihidupkan.

Edlin senyum lega.

“Awak kena bawa pergi service, saya tak jamin skuter ni boleh tahan lama-lama,” Irfan ingatkan gadis itu.

“Beres, balik nanti saya terus pergi bengkel,” kata Edlin dengan konfiden. Tapi, dalam hati nak terus balik rumah saja. Nak jumpa pomen, kena pergi ketuk tabung ayam di rumah dulu. Kalau rasa-rasa cukup, petang nanti dia akan pergi ke bengkel. Kalau tak, kena tunggu gaji masuklah jawabnya.

“Okeylah kalau macam tu,” Irfan senyum sambil mengesat tangannya yang dah berminyak hitam.

“Terima kasih doktor!” ucap Edlin. Ceria sungguh hatinya kerana skuternya sudah elok.

“Jangan lupa pergi service tau! Nasib baik skuter buat hal dekat-dekat dengan hospital kalau kat tempat-tempat sunyi bagaimana?” Irfan tak sudah-sudah mengingatkan gadis itu.

“Baiklah, karang jugak saya pergi service skuter saya,” Edlin senyum lebar-lebar. Tengok tabung ayam dulu, kalau cantik..ON! Kalau tak, OFF!

Edlin lambai tangannya, biarkan lelaki itu berlalu dahulu.

 

TABUNG ayam dibuka dari bawah, dikeluarkan segala isi yang ada. Kepala terus layu ke bawah. Hai..

“Mana cukup!” Edlin mengeluh. Terlupa minggu lepas dah dikeluarkan sedikit duit untuk diberikan kepada ibunya yang berada di kampung. Bulan ni memang perit sedikit kerana banyak duit telah digunakan untuk adik-adik yang baru memulakan sesi persekolahan tahun baru. Gaji yang ada pun cukup-cukup makan. Edlin mengeluh lagi.

“Harap kau boleh bertahan sampai hujung bulan la skuter,” Edlin rebah badan ke tilam. Kelip-kelip matanya merenung siling. Susah hati..